jom zikir...

Powered By Blogger
Showing posts with label cinta. Show all posts
Showing posts with label cinta. Show all posts

Saturday, April 7, 2012

CUKUPLAH AKU MENCINTAI DALAM DIAM ♥

(must read dan renung2kanlah.., hehe...bukan tgah bercinta ka pa lani tapi sekadar pringatan untuk diri sendiri dan sahabat2 yang disayangi kerana ALLAH...panduan masa depan =) )

Kalau kita sukakan seseorang,
jangan beritahu si dia.
Nanti Allah kurangkan rasa cinta padanya
Tapi luahkan pada Allah,
beritahulah Allah.
Allah Maha mengetahui siapa jodoh kita ..


Cintai Dia Dalam Diam,
Dari Kejauhan Dengan Kesederhanaan & Keikhlasan

Jika benar cinta itu kerana ALLAH maka biarkanlah ia mengalir mengikut aliran ALLAH kerana hakikatnya ia berhulu dari ALLAH maka ia pun berhilir hanya kepada ALLAH
"Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran ALLAH."
(Adz Dzariyat : 49)

Tetapi jika kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah, berdoalah & berpuasalah
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji.
Dan suatu jalan yang buruk."
(Al Israa' : 32 )


Ketika kau mendambakan sebuah cinta sejati yang tak kunjung datang,
Allah SWT mempunyai Cinta dan Kasih yang lebih besar dari segalanya & Dia telah menciptakan sseorang yang akan menjadi pasangan hidupmu kelak.
Ketika kau merasa bahawa kau mencintai seseorang,
namun kau tahu cintamu tak terbalas
Allah SWT tahu apa yang ada di depanmu & Dia sedang mempersiapkan segala yang terbaik untukmu

Cukup cintai dalam diam
bukan kerana membenci hadirnya
tetapi menjaga kesuciannya
bukan kerana menghindari dunia
tetapi meraih syurga-NYA
bukan kerana lemah untuk menghadapinya
tetapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus & menyelusup


Cukup cintai dari kejauhan
kerana hadirmu tiada kan mampu menjauhkan dari ujian
kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan
kerana mungkin membawa kelalaian hati-hati yang terjaga

Cukup cintai dengan kesederhanaan
Memupuknya hanya akan menambah penderitaan
menumbuhkan harapan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan

Cintailah dengan keikhlasan
Kerana tentu kisah Fatimah dan Ali Bin Abi Talib diingini oleh hati
tetapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi..??

".. boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu.
ALLAH mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."
(Al Baqarah : 216 )

Jangan memberi harapan pada yang belum pasti,
kelak ada insan yang bakal dilukai,
Jangan menaruh harapan pada yang belum tentu dimiliki,
nanti hati yang kecewa sendiri.
Sebaliknya,
gantunglah segenap pengharapanmu kepada Yang Maha Memberi,
nescaya dirimu tak sesekali dizalimi,
kerana Dia mendengar pengharapanmu setiap kali & Dia menunaikannya dgn cara-Nya yang tersendiri

Cukup cintai dalam diam dari kejauhan dengan kesederhaan & keikhlasan
Kerana tiada yang tahu rencana Tuhan
mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan


Kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikkan
serahkan rasa itu pada Yang Memberi dan Memilikinya
biarkan DIA yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya
"Barangsiapa yang menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga."
(Umar Bin Khattab ra)

If you really love her, you won’t touch her.
Not even the slightest bit.
You’ll protect her dignity and sacredness as a muslimah.
Just hold her in your heart for a few more years ..
then you can do it the halal way


“Sesiapa sahaja yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah,membenci kerana Allah & menikah kerana Allah, maka bererti ia telah sempurna imannya.”
(HR. Al-Hakim)




|dari page USTAZ DON DANIYAL|


~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)

Tuesday, February 8, 2011

CINTA…DI PERTENGaHAN USIA

oleh gentarasa 

Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.

Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?

Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!

Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.

Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.

Memang, pada usia empat puluhan dan ke atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.

Lelaki Andropaus

Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood” yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.

Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.

Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!

Wanita Menopaus

Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.

Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.

Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur. Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di pertengahan jalan kehidupan itu.

Suami andropaus dan menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.

Penyakit Ego

Ego dengan manusia berpunca daripada ego kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya. Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu, mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.

Jadi, sangat penting dijaga niat dalam membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang diniatkannya.

Bagaimana pula dengan pasangan yang telah terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.

Gelanggang Ibadah

Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.

Begitu juga isteri yang memasak, mencuci pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan, kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.

Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang indah ini.

Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct) inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.

Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.

Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!
 

~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)

Saturday, February 5, 2011

Nota Cinta




alt
Allah....
Ingin sekali aku menulis nota cinta untuk-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kutuliskan untuk-Mu,
Bersama embun titisan air mata cinta pada-Mu.
Allah...
Ingin sekali aku mengarang nota cinta buat-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak kukarang buat-Mu,
Bersama bunga perasaan rindu yang menggebu-gebu.
Allah...
Ingin sekali aku mengirim nota cinta pada-Mu,
Nota cinta yang sudah lama tidak dikirim pada-Mu,
Bersama wangian kesetiaan yang yakin dan padu.
Allah...
Jika ku tulis, ku karang lalu kirim padaMu,
Masihkah Kau sudi membacanya seperti dulu?
Suatu nota dari seorang aku,
Yang hina lagi jahil malah kaku,
Dalam menanggapi erti cinta sejati dariMu.
Allah...
Jika ku tulis, ku karang lalu kirim pada-Mu,
Sudikah Kau membalasnya buat diriku?
Sebuah nota pada seorang aku,
Yang curang tak bererti lagi buntu,
Dalam menanggapi erti kehambaan pada-Mu.
Allah...
Ingin sekali aku memberikan nota cinta untuk-Mu,
Tapi aku malah jadi tidak tahu,
Mahu bermula dari mana,
Mahu mengakhirkan bagaimana.
Allah...
Apakah masih pantas untuk mulutku yang hina ini,
Menyebut nama-Mu Yang Agung itu,




~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)

Saturday, November 20, 2010

cinta oh cinta

oleh: HAMBA ALLAH :)

bile bercakap ttg cinta.. semua org x keruan..
ye la kan..cinta..semua mende nampak indah,,andai harus meredah lautan api, andai harus mendaki gunung merapi sekalipun, pasti sanggup dilakukan (ckp besar jela, buatnye tidok la yak)
ok, start dgn teori yg x begitu asing bagi kite..
cinta yg plg agung >> cinta kpd Allah sang pencipta..

kemudian ade la tingkat2 seterusnya..
cinta ibu bapa, saudara mara, kwn2.. n forget not cinta pada sang kekasih..
tp yang aku highlight kt sni cinta pada sang kekasih sbb ni yg sllu wat kite x keruan..
yela kan. ble dah start akil baligh, sume dok pikiaq2,,yg lelaki dah start gatai2,,nak usya pompuan2 cantik..yg pompuan dah start nak minat2 laki ensem( x di lupe mamat2 korea n vampire2, walaupun hanya dlm fantasi)..

knp tbe2 aku ckp psl cinta ni??..haaa..ade la sbb nye..
aku just nak membawa pembaca fikir dgn lebih jauh..
jd, basically org bercinta ni, mst inginkan sesuatu kan.. eg: lelaki nak awek cun, so that boleh bangga ngan member2.."haha, aku ade awek, korg ape ade??"..
pompuan plak: "ehehe,,saye suke mamat tu la, bestnye dpt pakwe, yg boleh protect aku.."..

ok..lps tu, wujudlah psgn2 kapel yg janji mau sehidup semati ni..jeng3..
tp cerita x abes takat tu je..
si kawan yg masih single-mingle ni plak rse x keruan..: "aishhh,,xleh jadi ni..kne cari jgk pakwe@makwe ni..." bermula la episod cari-mencari..n at the end, mnde ni jd trend..lps 1, 1,, spt graft yg berkadar lurus...

tp...ape yg semua org ni dpt??
kegembiraan?..
kebahagiaan?..
masa depan?..
or ke glamour an??..

ade jgk org ckp..ble hangat bercinta mse kapel ni..
last2 ble dah kawin, xterasa dah kehangatan bercinta..sume jd hambar..
sbb mse kapel semua dah rase dah?
hmmm..wallahualam..

ok.aku xtau nak merepek ape dah..
feel free to drop some comment..
aku dah buntu akal..
mnde2 yg remeh cmni pn boleh menggangu hidup aku..sigH~

tp igt lah firman ALLAH: wala taqrabuzzina, .(jgn lah menghampiri zina)
kalau kita rasa dgn kapel, boleh menjauhi zina.. silakan lah..
dan bare in mind..zina bkn stakat, bersetubuh...tapi juga zina mata, mulut, zina telinga..n plg mustahak, zina hati..semua tu termasuk dlm kategori zina..so, tepuk dada, tanya iman..

hati perlu sentiasa ditarbiah... :)

Tuesday, June 29, 2010

9 Wanita disukai lelaki

oleh: Ezairy M. Sallih

WANITA itu adalah perhiasan seisi dunia. Dan sebaik-baik perhiasan itu adalah yang menyejukkan mata. Yang menyejukkan mata itu juga biarlah yang mendamaikan hati.
Orang selalu sebut cinta itu akan lahir dari mata lalu turun ke hati. Dari penglihatan dan penampilan seseorang itu sahaja kita boleh membuat anggapan awal terhadap seseorang walaupun tidak semuanya tepat.
Hari ini saya kongsikan 9 wanita yang sering diminati dan disukai oleh kaum lelaki
1. Kuat agama.
Lelaki yang soleh adalah diciptakan untuk wanita yang solehah. Andai anda mahukan ciri suami anda itu adalah  seorang yang beriman dan beragama, maka seharusnya anda perlu memenuhi diri anda dengan kriteria itu juga. Lelaki yang benar-benar ikhlas dalam percintaannya akan memilih ini sebagai perkara asas pertama dalam mencari bakal isterinya.
2. Memelihara penampilan.
Lelaki biasanya akan tertarik kepada wanita yang sentiasa menjaga penampilannya. Tak kiralah di rumah, di tempat kerja, bersama keluarga, dating atau di mana-mana sekali pun, wanita yang sentiasa menjaga kebersihan, pemakaian dan perwatakan dirinya akan mudah untuk didampingi oleh lelaki.
3. Lemah lembut.
Yang ini saya tidak nafi. Hampir semua lelaki akan tertarik kepada wanita yang lemah dan lembut. Lemah lembut ini membawa pengertian bahawa seorang wanita yang sentiasa merendahkan suara ketika berkata-kata, tenang dalam tindakan, tunduk pandangannya semasa di mata masyarakat dan bijak dalam mengawal emosi perasaan dalam apa juga keadaan.
4. Keanak-anakan.
Nombor empat ini kebiasaanya lelaki akan cenderung untuk tekankan. Seorang wanita perlu mempunyai sifat ini agar ia mudah untuk didampingi oleh lelaki. Tak kisah anda sudah menjadi isteri atau masih mencari pasangan. Seorang suami atau lelaki amat suka kepada isterinya yang bersifat keanak-anakan. Keanak-anakan ini saya maksudkan ialah pandai dalam menunjukkan sifat manja, kasih dan sayang kepada pasangan. Seorang wanita itu sendirinya lahir dengan sifat manja, lembut dan riang.
5. Sentiasa menjaga maruah diri.
Wanita wajib memelihara maruah dirinya sendiri. Wanita yang sering menjadi kesukaan lelaki adalah wanita yang pandai menjaga dirinya sendiri. Dia tahu bila dan di mana dia perlu membawa dirinya. Dia juga arif bagaimana untuk mengawal hubungan dan komunikasi bersama lelaki-lelaki lain. Wanita yang sentiasa menitik beratkan perkara ini sering kali akan menambat hati lelaki dengan lebih lagi.
6. Memahami.
Seorang lelaki suka kepada wanita yang memahami dirinya. Isteri seorang petani harus arif untuk belajar cara hidup seorang isteri si petani. Isteri seorang artis juga mesti tahu bahawa suaminya adalah milik jutaan peminat di mata masyarakat. Jadi, siapa pun suami atau kekasih anda, anda perlu sentiasa memahami pasangan anda. Lelaki amat tidak selesa kepada wanitayang kurang memahami dirinya.
7. Pandai bergaul dan menyesuaikan diri.
Wanita perlu juga bijak menyesuaikan diri di mana juga dia berada. Di kampung, maka buatlah cara di kampung. Kalau di bandar pun begitu. Berhadapan dengan orang tua dah tentu berbeza bila bergaul dengan golongan muda. Sikap wanita yang mudah untuk bergaul dengan sesiapa pun golongan manusia, akan menjadi bonus buat diri anda sebagai seorang wanita.
8. Mempunyai sifat ibu.
Sifat keibuan ini memang ada pada setiap wanita. Cuma anda sudah tonjolkan atau pun masih belum. Prihatin, mengasihani dan penyayang adalah antara sifat keibuan yang diminati oleh kaum lelaki. Nilai keibuan ini tidak semestinya ada pada wanita yang sudah melahirkan anak atau yang sudah berumah tangga, bahkan ianya mampu untuk dizahirkan oleh semua golongan yang berstatus wanita.
9. Merendah diri.
Lelaki suka wanita macam ni. Biarlah dipuji sepuluh kali, seorang wanita yang sentiasa merendahkan dirinya dalam hubungan percintaan amat disukai oleh lelaki. Lelaki amat benciwanita yang ego, yang mementingkan diri sendiri dan merendah-rendahkan pula pasangannya.

Friday, June 18, 2010

Makna cinta lelaki perempuan


oleh Ezairy M. Sallih

 

SEORANG wanita itu wajib menjaga maruah diri, nilai peribadi dan batas pergaulannya. Wanita itu halus. Ia lembut. Setiap gerinya mesti dijaga. Kerana itu juga, wanita ini sering dikaitkan sebagai permaisuri hati buat seorang suami.

“Agak-agaknya, perempuan macam mana yang kau suka?” seorang sahabat pernah bertanya pada saya. Dah lama kisah ni. Dia tanya pun saja-saja je masa tu. Sekadar mengisi masa yang terluang.

Sambil tersenyum, saya menjawab ringkas, “Haha… entahlah, aku tak fikirkan semua tu lagi.”
Yalah, zaman  lepas-lepas sekolah lagi masa tu. Semua fikiran lebih terarah kepada pelajaran, buku dan kelas-kelas. Perancangan masa depan biasanya belum lagi terlintas di benak.

 Zaman remaja, masa asyik-asyik kita bersekolah, budaya bercinta ini semacam menjadi kelaziman. Bukannya tak ditegah. Tapi rasa dah malas nak ditegur. Ia tetap juga berlaku.
Wanita ni biasanya mengharapkan sesuatu yang jujur dan benar-benar ikhlas dari seorang yang bernama lelaki. Hubungan jangka masa panjang biasanya diidam-idamkan oleh seorang wanita. Lelaki pula bukannya tak macam itu, tapi lazimnya golongan lelaki masa zaman-zaman remaja lebih mahukan keseronokan. Rasa tanggungjawab biasanya belum lagi datang.
Kerana itu juga kita boleh lihat masih ramai lagi lelaki yang belum berkahwin ketika usia mencecah tiga puluh. Biasa kan jumpa?

Hubungan percintaan ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama ialah cinta peringkat awal remaja. Peringkat ini ialah pada umur antara 13 hingga 17 tahun. Cinta peringkat ini biasanya pasangan akan tertarik pada wajah, paras rupa masing-masing. Mana yang hensem-hensem, mana yang comel-comel itulah yang akan menjadi pujaan. Betul?

Cinta peringkat kedua iaitu peringkat umur 18 sehingga 22 tahun pula dinamakan cinta pertengahan remaja. Biasanya mereka yang bercinta, mereka yang bercouple pada masa ini adalah lantaran tertarik pada sikapnya, terpaut pada ambil beratnya kekasih, prihatinnya seorang lelaki terhadap wanita. Ini biasa berlaku.

Dan cinta peringkat terakhir ialah pada umur 23 hingga 27 tahun, iaitu cinta akhir remaja. Cinta pada level ini biasanya lebih dirumuskan kepada matlamat jangka masa panjang. Ini biasanya dikaitkan dengan faktor kestabilan kewangan, kekukuhan hidup seseorang, kemampuan untuk mampu menjaga pasangan hingga ke akhirnya. Ironinya, mereka yang bercinta pada peringkat umur ini ialah mereka yang telah biasa bergelumang pahit maung hidup termasuklah alam cinta remaja. Remaja takat umur ini juga biasanya telah mula mengenal erti hidup. Kebanyakan mereka juga telah mula memulai  hidup dalam kerjaya.

Tak kisahlah anda sedang atau masih bercinta pada peringkat mana sekali pun, bang, kak… Cuma nasihat saya, jagalah hubungan itu. Zahir dan luahkanlah percintaan itu mengikut apa yang selalu disebut oleh agama.

 Kita adalah kekasih Allah, kita juga merupakan kekasih Rasulullah. Ibu bapa juga kekasih kita. Walau tinggi mana pun rasa sayang, kasih dan cinta kita pada dunia, cinta pada mereka jangan sekali dilupa.

Wednesday, June 9, 2010

Romantik dalam bercinta

SIRI MOTIVASI Menerobos Sempadan Minda

oleh Ezairy M. Sallih
Quantcast
 

“Saya cintakan awak. Awak cinta saya?”

“Saya pun cintakan awak. Awaklah lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hati saya,”

“Awak janji akan sehidup semati dengan saya?”

“Ya, saya janji.”

“Betul?”

“Ya, saya janji awak. Saya akan sehidup semati dengan awak.”

Muda-mudi yang biasa bercinta, ramaja-ramaja yang selalu putus, kemudian sambung balik cinta memang dah biasa dengan benda-benda macam ni. Bahkan mereka yang sudah berusia itu lebih-lebih lagi berpengalaman dari kita dalam erti kata cinta ni.

Semua orang yang sudah berumahtangga memang pernah bercinta. Bukan awak seorang aje. Jadi, dalam bercinta ni bukan sahaja soal janji dan kepercayaan yang diperlukan. Bahkan terlalu banyak aspek yang perlu juga diambil kira untuk menjaga hati pasangan masing-masing.
Sekadar berjanji untuk hidup bersama itu mungkin dah biasa sangat orang buat. Esok lusa putus juga kalau tak ada kejujuran. Namun sejauh mana usaha untuk mengekalkan hubungan itu adalah yang jauh lebih utama dalam hubungan percintaan.
Satu tip untuk menghangatkan kembali aroma percintaan ialah lakukanlah kejutan kepada pasangan anda. Buat suatu kejutan dalam bentuk temu janji, special dinner, hadiah istimewa atau sebagainya. Lakukannya secara kreatif. Yang ini ramai yang tak buat lagi. Atau tahu sebenarnya tapi buat-buat tak tahu.

Ingat tarikh-tarikh penting dalam hidup pasangan anda. Tarikh ulang tahunnya, tarikh pertemuan pertama barang kali atau apa sahaja. Kejutan dan tarik-tarikh istimewa ini sebenarnya amat diperlukan dalam alam percintaan. Dengan itu seseorang itu akan merasa seolah dihargai, diberi perhatian dan 
mereka tidak diabaikan.

“Abang ingat tak hari ni hari apa?”

“Emm… abang tak ingatlah, sayang.”

“Alah, cuba abang ingat betul-betul, hari ni hari apa?”
“Hari apa ya?” (menggaru-garu kepala yang tidak gatal)

“Hee… abang tahu kan. Saje je abang buat-buat lupa. Nakal ya dia.”
 
“Ooh ya.”

“Ha, ingat pun.” (sambil tersenyum)

“Hari ni hari Jumaat!”

“Abang!!!!”

Aduhai bang, bila teman wanita atau isteri awak tanya macam tu maknanya adalah tu tarikh-tarikh istimewa yang perlu diingat. Jangan buat-buat lupa. Benda-benda ni nampak macam remeh, namun perkara inilah yang akan mengekalkan keharmonian dan kerukunan dalam hubungan percintaan. Barulah dikata romantik!

Wednesday, June 2, 2010

Hakikat Sebuah Cinta

by Ezairy M. Sallih
Quantcast
 

CINTA itu adalah hakikat.  Kita memberi, kita merasa, maka kita menyerahkan semua yang kita miliki kepada orang yang kita cintai, tanpa tersisa sedikit pun!

Abu Nashr al-Tusi, dalam Al-Luma` membahagikan al-mahabbah ‘cinta’ kepada 3 tingkatan darjat:

1. CINTA ORANG BANYAK (BIASA)
Iaitu mereka yang sudah mengenali Tuhan dengan zikr, suka menyebut nama-nama Allah dan mendapat kesenangan dalam berdialog dengan Tuhan. Juga sentiasa ia memuji Tuhan.

2. CINTA PARA MUTAHAQQIQIN
 

Iaitu mereka yang sudah kenal pada Tuhan, pada kebesaranNya, pada kekuasaanNya, dan pada ilmuNya. Cinta yang dapat menghilangkan tabir yang memisahkan diri seseorang dengan Tuhan.

Dengan demikian ia dapat melihat rahsia-rahsia yang ada pada Allah. Ia mengadakan dialog dengan Tuhan dan memperoleh kesenangan dari dialog itu. Cinta yang kedua ini membuat orangnya sanggup menghilangkan kehendak dan sifat-sifatnya sendiri, sedangkan hatinya penuh dengan perasaan cinta pada Allah dan selalu rindu pada-Nya.

3. CINTA PARA SIDDIQIN DAN ’ARIFIN
Iaitu mereka yang kenal betul pada Allah. Yang dilihat dan dirasa bukan lagi cinta, tetapi diri yang dicintai. Akhirnya sifat-sifat yang dicintai masuk ke dalam diri yang mencintai!
 

SESUNGGUHNYA muhabat cinta itu bersumber dari iman. Lantaran itu, dari imanlah orang dapat mencintai Allah sebagai cinta tingkat pertama, kemudian baru cintanya kepada sesuatu yang lain. Maka dengan itulah, orang yang mencintai Allah, tidak akan sama sekali mengorbankan hukum Allah kerana kepentingan pribadinya.
Subhanallah…

Dekati, Dampingi Dia


by Ezairy M. Sallih
Quantcast


BILA mula rasa bosan. Jiwa pun rasa tak tenteram. Asyik nak moody aje. Maka, kembalilah kepada Dia. Tak ada lain yang dapat membantu kecuali Allah.

Jumpalah mana-mana pakar motivasi, pakar psikiatrik atau siapa pun juga, tak akan ada yang mampu menandingi kehebatan kuasa Tuhan.

Bila kita ingat Dia, kita akan tenang. Bila kita gelisah, hati macam ada aje yang tak kena, hah cuba lekas-lekas ambil wuduk, kemudian tunaikan solat sunat. Dua rakaat pun tak apa. Kalau boleh lepas tu, baca Quran sekali. Kemudian apa anda rasa?

Ya, ketenangan melalui jalan ini tak akan sama dengan ketenangan yang diperolehi daripada sumber lain. Ada orang nak tenang dengan menonton televisyen, dia rasa stres semua dapat hilang.

Ada abang tu pula nak hilangkan kusut dalam kepalanya, selalunya dia akan ke warung kopi atau kopitiam, berborak dengan member-membernya.

Ada akak tu pula, bila ada masalah, dia akan jalan seorang-seorang kat tepi pantai, nakkan ketenanganlah tu.

Betul, semua tu mampu menghilangkan segala kekusutan yang melanda anda. Namun, percayalah, ketenangan yang ini, kehebatan yang ini tak pernah dan tak akan sama dengan apa-apa pun ketenangan yang lain. Itulah Dia.

Jadi, jumpalah Tuhan, dekatilah Dia, sentiasalah dampingi Dia. Mana tahu, di kala senang pun kita masih mengingatiNya, tatkala susah Dia juga akan hadirkan kesenangan buat kita. Alhamdulillah.
Allah itu satu, tiada lain selain Dia!

Friday, May 21, 2010

bukan cinta biasa

Dipegang jubah suaminya. Matanya yang jernih merenung sayu.
“Apakah ini kerana Allah?” tanya hampir berbisik.
“Ya, wahai isteri ku. Semua ini kerana Allah,” jawab suaminya lalu segera berlalu. Tanpa toleh, tanpa berpaling.

Mendengar jawapan itu Siti Hajar tidak berkata apa-apa lagi. Mata dan hatinya menghantar suaminya Ibrahim AS berlalu pergi. Tega dan redha. Kalau suami ku bertindak meninggalkan aku kerana Allah, aku mesti rela ditinggalkan juga kerana Allah, mungkin itulah rasa hati Siti Hajar sewaktu ditinggalkan Ibrahim.

Itulah sedikit gambaran perpisahan kerana Allah. Nabi Ibrahim AS rela meninggalkan isteri dan anaknya Ismail di bumi yang kering kontang. Satu lembah yang gersang jauh daripada manusia, haiwan dan tumbuhan. Ya, itu semua perintah Allah. Demi cinta khalik yang lebih tinggi dan suci, ditinggalkannya cinta terhadap anak dan isterinya. Itulah hati Nabi Ibrahim. Jika dulu dia diuji dengan bakaran api, kini dia diuji lagi oleh perpisahan dengan anak dan isteri.

Jangan disangka hanya Siti Hajar sahaja yang menderita ditinggalkan, tetapi bayangkanlah juga derita suaminya Nabi Ibrahim yang “meninggalkan”. Kekadang orang yang meninggalkan lebih perit dan sakit penanggungannya daripada orang yang ditinggalkan. Namun apakah pilihan Ibrahim, bila cinta Allah berbicara, cinta yang lain akan membisu seribu bahasa…

Mengapa hanya kata-kata “apakah semua ini kerana Allah?” yang diminta kepastian oleh Siti Hajar terhadap suaminya Nabi Ibrahim? Mengapa tidak ada ucapan yang lain? Mengapa tidak diucapkan, “kenapa sampai hati kau buat begini?” Tidak, ucapan seumpama itu sama sekali tidak terkeluar daripada mulut isteri solehah seperti Siti Hajar. Apa yang hendak dipastikannya hanyalah satu… semua itu dibuat oleh suaminya kerana Allah. Bila kerana Allah, tenanglah hati Siti Hajar… Tuhan pasti tidak akan mengecewakannya. Suaminya tidak akan menganiayanya.

Bertemu kerana Allah, berpisah pun kerana Allah. Itulah tradisi dalam cinta para solihin dan muqarrabin. Dan iktibar buat kita, untuk mengekalkan cinta dalam rumah tangga inilah juga teras dan asasnya. Jangan ada “kerana” yang lain. Jika ada yang lain, pasti cinta itu tergugat jua walaupun bagaimana teguh sekali pun janji dan peneguhan kata yang pernah dimeterai. Untuk mengekalkan cinta, ini sahaja prinsipnya – berbuatlah apa sahaja kerana Allah. Lurus, tulus dan telus tanpa belok dan bengkok.

Sekalipun terpisah, namun cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar tidak pernah luntur. justeru kedua-dua berpegang kepada asas cinta yang kekal… cintakan Allah. Dan bila mereka bertemu kembali, beberapa tahun kemudiannya, cinta itu teruji lagi. Kali ini Nabi Ibrahim diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tekad, Ismail mesti dikorbankan. Tetapi bagaimana Siti Hajar?

Siti Hajar teruji lagi. Nilai anak bagi seorang ibu, kekadang melebihi nilai suami kepada seorang isteri. Ikatan hati antara ibu dan anak jauh lebih teguh dan kukuh daripada ikatan suami dan isteri… begitu kekadang pakar-pakar psikologi mengungkapkan. Namun itu sedikit pun tidak menjejaskan jiwa Siti Hajar, sekali lagi “jika itu kehendak Allah” dia pasrah. Allah tidak akan mengecewakannya. Siti Hajar rela “kehilangan” anak dan suami berkali-kali. Seperti air zam-zam yang menyuburkan lembah Makkah yang gersang maka begitulah iman yang memperkasa jiwa Siti Hajar. Sekali lagi dia rela dan tega.

Ah, agungnya sejarah itu. Namun di mana asas kekekalan cinta itu masa kini? Kadar perceraian melonjak semakin tinggi. Janji hidup bersama, mati berdua hanya jadi mainan kata sewaktu bercinta. Tetapi sebaik musim bulan madu berlalu, cinta semakin hari semakin terhakis. Dan akhirnya usahkan untuk mati bersama, hidup berdua pun sudah tidak mampu lagi. Suami jemu dengan kerenah isteri. Isteri bosan dengan tingkah laku suami… tak berubah-rubah, macam-macam tu juga. Akhirnya, perceraian pun tidak dapat dielakkan lagi.

Mengapa ini berlaku? Jawabnya, kerana dalam hati suami dan isteri itu tidak ada lagi prinsip “kerana Allah”. Rasa syak wasangka, marah melulu, kecewa, jemu, jeran dan terancam mula bersarang dalam jiwa apabila “bukan kerana Allah” menjadi begitu dominan dalam sanubari suami dan isteri masa kini. Semakin lama berumah tangga semakin ketara segala kelemahan dan kesalahan.

Pada mulanya dicuba-cuba juga bersabar. Ah, demi cinta ku pada nya, begitu pujuk-pujuk hati. Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, segala-galanya masih “gitu-gitu” juga. Bila suami sampai di muka pintu (pulang daripada bekerja), muka isteri mencuka, keluhan atau leteran pun bermula, tidak ada lagi salam berkucup tangan, tidak ada lagi wangian dan haruman, tidak ada jawapan salam yang sopan…

Dulu pernah suami menegur bersulam kata dengan kiasan dan perlambangan. Namun isteri buat tidak tahu kerana di hatinya juga ada “dendam”. Ah, kau sahaja yang ingin aku berubah, kau pula bagaimana? Aku jemu melihat kau umpama raja dalam rumah tangga yang menyuruh aku membuat segala-galanya. Sejak bangun tidur aku bagaikan hamba sahaya yang asyik membersihkan, memasak, mengasuh, mengemas dan seribu satu kerja lagi, gerutu hati isteri.

Kau tidak pernah berubah wahai suami. Pakaian bersepah. Tingkah laku mu jauh daripada yang ku kenal dahulu. Pantang ditegur, ego mu meledak. Kau semakin bungkam dan bisu ketika aku ingin meluahkan dan menceritakan segala-galanya. Dan perlukah aku meluahkannya lagi, setelah berkali-kali kau seakan tuli untuk mendengarnya!

Jiwa yang kecil akan membesarkan masalah yang remeh apatah lagi masalah yang memang besar. Bila di hati tidak ada lagi “kerana Allah”, rumah tangga akan semakin goyah. Di dalam hati sudah timbul bibit-bibit ingin berpisah… Berpisah secara rasmi dengan jatuhnya talak bersendikan syarak atau berpisah secara sepi, dengan putusnya ikatan cinta tanpa kemesraan dan keharmonian hati.

Jasad rapat, tetapi hati kian jauh terpisah. Sesetengah pasangan nekad terus mengambil keputusan untuk berpisah. Jika begini apa gunanya ditunggu lagi, kita bercerai! Dan sesetengah pasangan pula tetap di situ mempertahankan cinta yang bagaikan hidup segan mati tak mahu – “better bend than break” (biar sekah asalkan tak patah). Golongan ini sabar mengharungi perkahwinan yang tidak bahagia.
Mereka yang memilih bercerai, inginkan bahagia di tempat, di suasana atau dengan keadaan yang lain (dan mungkin juga dengan orang yang lain?). Tidak ada gunanya mempertahankan perkahwinan yang tidak bahagia… cari sahaja bahagia di tempat yang lain. Mereka yang bertahan pula mungkin merasakan, jika pasangan ku ini pun tidak memberikan aku bahagia, sedangkan aku yang mencari dan dicarinya dulu, mana ada jaminan aku bahagia dengan orang atau di tempat yang lain? Biarlah, aku bertahan sahaja…

Siapa antara kedua golongan ini yang lebih bernasib baik? Yang bercerai untuk mencari bahagia atau yang bersabar dengan perkahwinan yang tidak bahagia? Subhanallah, hasil kajian menunjukkan setelah bertahun-tahun berlalu mereka yang bersabar degan perkahwinan yang tidak bahagia akhirnya lebih bahagia daripada mereka yang mengambil keputusan untuk bercerai!

Itulah berkat sabar. Kerana kesabaran itu lebih dekat dengan iman. Bukankah kesabaran itu separuh daripada iman. Dan dalam iman itulah tersemat roh kalimah “kerana Allah”. Sesungguhnya, Allah bersama dengan orang yang sabar. Bukankah dalam hidup ini, mereka yang berjaya mengharunginya bukan orang yang bijak, cantik dan ternama… tetapi oleh orang yang sabar.

Justeru, walau seteruk mana kerenah pasangan kita, belajarlah menerima dia seadanya. Bersabarlah dengan sikapnya kerana dia pun hakikatnya sedang belajar bersabar dengan kerenah kita. Jangan marah jika dia tidak berubah mengikut apa yang kita kehendaki kerana kita juga hakikatnya tidak berubah mengikut apa yang kita sendiri kehendaki.

Kita tidaklah setabah Siti Hajar dan pasangan kita pun tidak sebaik Ibrahim… namun setidak-tidaknya kita mengakui dan sentiasa mencuba untuk bersabar dengan peneguhan kata “kerana Allah”. Ingatlah, ragam, karenah dan tabiat pasangan kita bukan semuanya untuk diselesaikan. Seperti juga masalah-masalah hidup yang lain ada yang dapat diselesaikan dan ada yang tidak.

Bagaimana menghadapi masalah yang tidak dapat diselesaikan? Ya, ada masalah yang kita “kena hidup dengannya.” Selama-lamanya. Ia memang tidak dapat dan tidak perlu diselesaikan… Mengapa? Allah takdirkan begitu sebagai saluran kita merintih, merayu dan bergantung kepada-Nya.

Oh, rupa-rupanya Allah pasangkan kita dengan pasangan kita untuk kita saling merintih kepada Allah dalam menghadapi kerenah masing-masing. Allah menguji kita melalui dia, Allah menguji dia melalui kita. Inilah yang kita belajar daripada cinta dan sabar dalam rumah tangga Nabi Ibrahim dan isterinya Siti Hajar. Sesungguhnya, cinta mereka itu bukan cinta biasa!