jom zikir...

Powered By Blogger
Showing posts with label palestin. Show all posts
Showing posts with label palestin. Show all posts

Monday, June 14, 2010

Akhirnya..Setiausaha Agung Liga Arab tiba di Gaza

13 Jun 2010

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa tiba di Gaza hari ini setelah 3 tahun Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza yang dikuasai gerakan HAMAS.

Beliau tiba pagi tadi ke Gaza melalui sempadan Rafah Mesir yang diiringi pihak keselamatan Mesir.

Isu penting yang menjadi agenda utama lawatan beliau ke Gaza adalah mengesahkan bahawa Gaza mesti dibebaskan dari sekatan setelah armada pembebasan yang dipimpin Turki berjaya membawa sinar bagi membebaskan penduduk Palestin dari kesengsaraan yang berterusan.

Bertukar pandangan

Perdana Menteri Kerajaan Palestin di Gaza, Ismail Haniah memaklumkan bahawa pertemuan beliau dengan Amr Moussa itu turut bertukar-tukar pandangan mengenai pembebasan Gaza dari sekatan dan usaha pembaikan dalaman Palestin.

Gambar(Al-Jazeerah): Amr moussa, Setiausaha Agung Liga Arab kanan ketika sedang bercakap dan Ismail Haniah, Perdana Menteri Kerajaan Palestin di Gaza, kiri.

Ketika persidangan akhbar yang diadakan dalam tempoh yang singkat di rumah Ismail Haniah di Mukhayyam Shatie, beliau berkata, "semasa kami bertemu, kami turut membincangkan isu-isu yang penting dan kami juga mendengar pendirian Arab secara jelas yang mesti memecahkan sekatan ke atas Gaza."

Beliau mengungkapkan kunjungan Amr Moussa ini adalah kunjungan yang bersejarah dan merupakan langkah tindakan bagi memecahkan sekatan.

Dari pihak Amr Moussa turut mengulangi perlunya bertindak bagi memecahkan sekatan dan merealisasikan usaha pembaikan dalaman Palestin.

Dalam lawatan tersebut, Ismail Haniah mengiringi Amr Moussa meninjau ke Mukhayyam Shatie yang rata-ratanya didiami penduduk Palestin yang menjadi pelarian dari tanah asal di Baitul-Maqdis dan sekitarnya.

Gambar(Al-Jazeerah): Amr Moussa di kiri Ismail Haniah berkemaja cerah ketika meninjau Mukhayyam Shatie.

Amr Moussa turut melawat rumah keluarga As-Samuni di Hayyu Zaitun, timur bandar Gaza yang rosak teruk akibat pengeboman Israel dalam serangannya tahun lalu. Malah Amr Moussa juga mendengar pengakuan dan penyaksian dari baki ahli keluarga yang masih hidup, manakala 29 ahli keluarganya yang lain telah syahid.

Kemudian, beliau turut dibawa menziarahi kawasan Uzbah Abdurrabuh yang terletak di timur laut Gaza dan meninjau keadaan rumah-rumah yang musnah teruk semasa Israel menyerang Gaza dalam perang tahun lalu.

Sumber melaporkan, Amr Moussa berjanji dalam kunjungannya kepada penduduk Palestin bahawa akan bertindak dengan bersungguh-sungguh demi membolehkan kemasukan bahan-bahan binaan untuk membina semula Gaza. Beliau juga membantah penyembelihan yang dilakukan ke atas penduduk Palestin.

Jiwa lama Liga Arab telah berakhir

Dalam kenyataan Amr Moussa di Gaza menyatakan bahawa ketetapan-ketetapan Liga Arab boleh dilaksanakan segera setelah dikeluarkan. Kata beliau lagi, "jiwa lama Liga Arab dah berakhir."

Tambah beliau lagi ketika mengadakan perjumpaan dengan Yayasan-yayasan dan Pertubuhan Masyarakat bahawa, "sekatan Gaza menjadi buah perbincangan di peringkat antarabangsa dengan sokongan menyeluruh."

Liga Arab 'tersilap'

Setiausaha Agung Liga Arab menjelaskan bahawa Liga Arab tersilap langkah setelahmana memasuki rundingan damai tanpa menetapkan tempoh masa. Berikutan itu, tidak ada lagi sebarang rundingan yang tidak ditetapkan tempoh masa. Jelasnya, beliau merasai pesimis terhadap rundingan yang diadakan waktu ini.

Beliau juga mengharap perlu adanya pendirian Arab secara menyeluruh terhadap permaslahan dalam rundingan. Jelas beliau, jika tidak tercapai apa-apa perkembangan dari pentadbiran Amerika Syarikat dalam rundingan ini, kami(Arab) akan jalankannya dengan cara politik kami hasil kajian yang lepas dengan menguruskan masalah berkenaan.

Pembiayaan pembangunan semula Gaza

Ketika mengulas tentang permintaan dan bantuan akibat musnah dalam perang lalu, beliau menyatakan bahawa pembiayaan pembangunan semula Gaza telah 'sedia' dan hanya menanti sekatan ke atas Gaza dibuka.

Sebagaimana perjanjian dalam persidangan 'pembangunan semula Gaza' yang diadakan pada Mac 2009, di Sharm El-Sheikh, Mesir bahawa pembiayaan bernilai USD 5 bilion akan diagihkan secepat yang mungkin bagi membina semula Gaza dalam masa dua tahun, namun pembiayaan tersebut belum tiba hingga sekarang.

Datang lewat

Seorang penduduk Gaza, Kamal Abu Nada mengadakan protes lawatan Amr Moussa. Beliau menjerkah dengan suara yang kuat di hadapan hotel di mana lokasi Amr Moussa mengadakan pertemuan dengan kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin(ada media yang menyebut kumpulan-kumpulan pemisah Palestin), "Kamu datang lewat, darah kami dah kering".

Gambar(sepanduk): "Darah kami dah kering, kamu datang lewat"

"Kenapa kamu datang?", persoal Kamal Abu Nada yang merupakan seorang Pengerusi Yayaysan Perbankan Al-Quds(Pendidikan, Pembangunan dan Maklumat).

Beliau menyebut lagi, "Kamu hanya datang untuk lepaskan bebanan kamu, bukannya demi untuk membantu penduduk Palestin."

Dalam pertemuan Amr Moussa dengan Yayasan dan Pertubuhan Masyarakat, Kamal Abu Nada berkata, 'Lebih baik utamakan membantu Mesir sebelum membantu penduduk Palestin iaitu bebaskan dirinya(Mesir) dari terikat dengan sebarang perjanjian-perjanjian yang membuat tekanan kepada pemimpin-pemimpinnya dan melarang mereka dari berdiri kukuh di pihak Palestin.

Sementara itu, beberapa dikalangan media massa menyebut bahawa lawatan Amr Moussa ke Gaza telah terlambat berikutan Gaza telah dikunjungi wakil-wakil Negara dan pemimpin barat yang tidak putus-putus setelahmana Israel melancarkan perang ke atas Gaza. Sumber 13/06/2010, berita Al-Jazeerah, web berita Al-Jazeerah dan web berita safa.ps

Wednesday, June 9, 2010

Sekatan yang terus dikekalkan ke atas Gaza adalah jenayah




KHAN YUNUS - Jurucakap gerakan HAMAS di Khan Yunus, Gaza, Hamad Al-Ruqb berkata, 'jenayah kepungan(sekatan) ke atas lebih 1.5 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza kerana pemilihan secara demokrasi seumpama keangkuhan yang biasa dilakukan zionis, malah dibelakangnya ada Amerika dan turut disertai sebahagian Negara Arab'.

Al-Ruqb menyatakan sedemikian dalam kenyataan akhbar, bahawasanya hal ini lebih menyakitkan penduduk Palestin padahal Arab adalah bersaudara juga terlibat mengenakan sekatan ini, dan memberikan kewajaran yang tidak masuk akal sebagaimana yang diingini pihak dibelakangnya demi melindungi tindakannya.

Beliau turut mengecam sebahagian kenyataan-kenyataan(ucapan atau akhbar) dari pihak berkenaan yang mengharap Israel memberikan persetujuan untuk membuka sekatan yang dikenakan ke atas saudaranya(Gaza) dengan menggunakan bahasa perundangan dan sebagainya, namun dalam masa yang sama tindakan dari pihak ini juga mengabaikan perundangan Palestin serta tidak mengendahkan kewujudannya yang sewajarnya mesti dihormati. Sesungguhnya, ia merampas apa diinginkan oleh masyarakat Palestin.

Sementara itu dalam laporan yang lain menyatakan, gerakan HAMAS mendakwa Pihak Keselamatan Palestin Ramallah menangkap tujuh anggotanya di wilayah Nablus, Qalqiliya dan Bet Lehem di Terbing Barat.

Di antara yang ditangkap, Saleh Al-Huraimi dari Bet Lehem yang dibebaskan dari penjara penjajah. Sebelum ini Saleh Al-Huraimi ditahan lebih 9 tahun dalam penjara Israel, namun Pihak Keselamatan Palestin menangkapnya pula setelah merempuh masuk ke tempat kerjanya. Sumber 09/06/2010, web berita safa.ps

Wednesday, June 2, 2010

Di mana para pemimpin umat???



Nah, siapakah yang boleh diharapkan lagi? PBB atau OIC? Mereka itu boneka sahabat-sahabat sekalian. Mana mungkin boneka mampu melawan tuan asal mereka. Boneka adalah boneka. Mampu dibogelkan bila-bila masa tanpa sebuah kenyataan rasmi.
Di mana para pemimpin umat Islam?

Saya merasa jijik untuk menjawab pertanyaan ini berulangkali. Yang nyatanya, mereka bukan pemimpin umat Islam. Pemimpin umat Islam tidak ada buat masa sekarang. Mereka adalah para boneka yang buncit perutnya bersama perkara-perkara HARAM. Terenjeksi kelawahan.

Jikalau mereka menjadi hero umat Islam, kepada siapakah harta bermillion setinggi Burj Khalifa dan menara petronas mahu dijaga? Minyak bertong-tong siapa yang mahu menjualnya kepada Amerika Syarikat dan sekutunya? Siapa pula mahu menjaga keuntungan judi Sport Toto, Genting, Berjaya dan pelbagai jenis aneka judi lainnya? Oh, sudah pasti gadis-gadis genit yang menjadi mainan tidur malam hari akan terlepas!

Kini baki yang tinggal ialah rakyat marhean bawahan.
Rakyat-rakyat inilah yang bertungkus-lumus siang malam mengambil tahu hal ehwal umat.
Rakyat inilah yang senantiasa memenuhi sepertiga malamnya untuk bermunajat kepada Allah SWT memohon nusrah-Nya.
Rakyat-rakyat inilah yang berdebar-debar jantungnya menanti perkembangan dunia Islam.
Rakyat inilah yang menghulurkan sesen dua wang ringgit untuk mereka.
Malah ada di kalangan rakyat ini sanggup ke sana mahu membantu mereka.
Allahhu Akbar.
Celikkanlah mata kembali. Buka mata seluas-luasnya setelah bayangan-bayangan di atas menerjah daya fikir kalian.
……………………
Titik-titik kosong ini, siapakah yang mahu mengisinya?

sumber: faridrashidi.com

Bayangan Rejim Israel Di Penjara Besar Ghazzah


Cuba anda pejam mata sebentar. Kosongkan fikiran. Hadirkan fakta ini di dalam benak minda masing-masing.
Terdapat sekeping tanah yang semakin hari semakin mengecil. Tanah itu dikelilingi pula oleh benteng konkrit dan gelungan dawai berkarat meninggi. Tembok-tembok tersebut memisahkan antara dunia luar dan dalam. Di perbatasan tembok itu ia dijaga pula oleh ‘anjing-anjing’ liar yang terjelir lidahnya senantiasa kelaparan.
Di dalam tembok itu, sebanyak 1.4 juta manusia pelbagai peringkat umur bersesakan sesama sendiri. Mereka tertekan, kelemasan dan pelbagai bentuk rasa kurang enak menghantui setiap hari yang dilalui. Malam-malam mereka bermimpikan makhluk ngeri yang dahsyat!
Kelompok populasi 1.4 juta itu, separuhnya adalah kanak-kanak kecil. Kawan, kanak-kanak ini bukan seperti anak-anak kecil kita. Mereka bukan kanak-kanak yang boleh melompat riang di taman permainan. Mereka bukan kanak-kanak yang boleh memakai uniform sekolah lalu pergi dan pulang dihantar oleh ibu bapa berkereta mewah.
Dan mereka juga bukan membesar seperti anak-anak kita! Tidak sama sekali.
Bahkan hampir 80% daripada kanak-kanak hidup di dalam keadaan kedhaifan. Mengerti apa itu kedhaifan? Kedhaifan bukanlah kesenangan menjamah KFC, Mc Donald, Pizza Hut, makanan mewah-mewah dan bukan juga mampu menonton rancangan kartun Donald Duck, Mickey Mouse, Doraemon ataupun bergelak tawa bersama keluarga menyaksikan rancangan bersiri Adamaya, siri drama musalsal dan lain-lain lagi.
Tidak tuan-tuan dan puan-puan! Rancangan mereka hari-hari ialah menyaksikan bom yang meletup di depan mata, muntahan peluru berjela-jela dan penjajah berpakaian uniform bersama jentolak lalu memusnahkan rumah mereka.
Di rumah kita, hari-hari kita membazirkan air kerana beranggapan bahawa sumbernya tidak terputus. Jika putus 1 jam, tetap saja ada perkhidmatan air lain mengambil tempat. Subhanallah, nikmat bukan! Tetapi tahukah ibu-ibu bapa-bapa serta pemuda pemudi yang dimuliakan – 90% air semulajadi yang terdapat di dalam kepungan penjara besar itu tidak boleh diminum!
Mereka minum apa?! Coke atau Pepsi? Tidak sahabat. Sedangkan mahu dapatkan air kosong sudah sukar inikan pula mahu meneguk air berkarbonat yang mampu menyebabkan perut bergelodak itu.
Ini gara-gara si bangsat zionis yang menyerang pada tahun 2008 hingga 2009!
Lalu mereka terus mengharap simpati masyarakat umum dunia. Doa-doa mereka selalu saja disertai airmata yang bercucuran. Barangkali lebih banyak limpahan airmata berbanding air semulajadi di tempat sendiri.
Maka celiklah sebelah mata PBB (kononnya penyelamat dunia) bersama agensi bantuan antarabangsa yang lainnya. Namun begitu, disangkakan panas hingga ke petang, tiba-tiba muncul ribut taufan di tengahari pula. Bantuan PBB itu ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan ‘melepaskan batuk di tepi jalan’.
Bantuan mereka sekadar mahu tunjukkan kepada mata dunia bahawa PBBlah antara organinasi penyelamat dunia yang unggul, cemerlang dan terbilang. Walhal di sebalik lakonan watak PBB itu, si lanun rejim zionis telah berupaya menyekat PBB dan organisasi-organisasi kemanusiaan daripada menghantar bekalan kepada penduduk Ghazzah.
Segala keperluan asas pendidikan, makananan, air, ubat-ubatan yang sangat diperlukan penduduk penjara terbesar itu disekat sewenang-wenangnya. Malahan ada yang dicampak serta termusnah begitu saja tanpa sempat dinikmati umat Islam Ghazzah!
Kempunan mereka, dan yang pastinya Ghazzah terus menangis.

Tuesday, June 1, 2010

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?

Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. 
Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita.  ~  
picture by screwbald of Deviant Art
Sungguh, kita adalah raja yang telah direndahkan martabatnya. Bukan kerana kuatnya musuh kita. Tetapi kerana lemahnya diri kita. ~ picture by screwbald of Deviant Art

Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.
 
Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya.
 
Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak mencritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.
 
Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok.
Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa.
 
31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?
Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

 Hakikat sebuah perjuangan

Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:
 
“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”
 
Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.
 
Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.
  Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.
 
Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.
 
Apa yang telah kita korbankan?
 
Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.
Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.

Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam

Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.
 
Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?
Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?
 
Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.
 
Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.
 
Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.
 
Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?
 
Berapa ramai dan berapa ramai?
 
Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.
Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.
 
Kita lemah dan tidak berdaya.
 
Hanya mampu menjerit sahaja.

Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita

Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.
 
Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi.
Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.
 
Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.
 
Itulah dia musuh kita.
Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.
 
Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.

Jalan kemenangan bukan dengan jeritan

Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.

Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?

Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. 
Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.
 
Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.
 
Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. 
Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.
 
Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.
Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.
 
Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?
Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.
Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.
 
Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?
Siapakah yang berusaha untuk menang ini?

Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?

Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?
 
Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?
Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.
Zaman itu ada semua itu.
Zaman kita apa yang ada?
 
Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.
 
Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.
 
Kenapa mereka tidak menang?
Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.
 
Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT.

sumber: langitilahi.com

belajarlah dari musibah

 













Musibah melanda lagi. Apa yang menimpa Gaza, harusnya dirasakan oleh kita jua. Jika tidak ada apa-apa terasa di jiwa, khuatir di dalam dada itu tidak ada rasa bersaudara. Dan tidak ada rasa bersaudara… petunjuk tidak ada iman.
Bukankah iman dan  persaudaraan itu saling berkaitan? Hanya dengan iman, datanglah rasa persauadaraan yang hakikit. Yakni persaudaraan yang merentasi jarak, bangsa dan rupa. Islam itu adalah syahadah yang mengatasi pertalian darah.
Siapapun akan menangis, melihat Gaza menangis. Dari jauh kita himpunkan doa. Dari dekat, kita menyatakan sikap. Di celah dinihari, moga ramai yang tahajud dan solat untuk  umat  Islam di Palestin.
Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Dimulai dengan penjajahan fikiran dan perasaan melalui hedonisme, sekularisme dan materialisme… akhirnya  peluru api dan besi para tirani akan merobek batasan geografi dan watan kita. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa… padahal rantai-rantai pemikiran sudah diikat di tengkok kita, dan jiwa kita sudah mula dikunci, hanya menanti masa sahaja iman dan Islam kita bakal disembelih!
Untuk sahabat-sahabatku  di Gaza, ku rakamkan tulisan ini sebagai titisan prihatinku untuk nasib kalian (nasib kita jua).  Hanya satu pesanku, untuk mu dan untuk ku… 

BELAJARLAH DARI MUSIBAH!
Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah “Bismillahir Rahman nir Rahim” – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?
Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.
Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.
Justeru seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Tegasnya, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit. Beliau berkata lagi, “Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”
Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Firman Allah s.w.t.:
“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”
(Surah al-Mulk: 3)
Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yang diterimanya.
Apa¬bila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu. Firman Allah s.w.t.:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”
(Surah al-Ankabut: 2)
Namun begitu, perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas se¬bab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan ALLAH. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Ujian yang berlaku kepada manusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.
Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”
Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Ya, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada musibah tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.

sumber: genta-rasa.com

Khaibar Khaibar Ya Yahud!



Hakikat bahawa konvoi Freedom Flotilla membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan dengan lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulama, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun menunjukkan kesatuan dunia untuk membebaskan kepungan terhadap Gaza. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.

Israel Zionis melanggar undang-undang antarabangsa berulang kali. Siapa yang pernah mengambil tindakan terhadap Israel? Serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata dan bertujuan aman.

Kepada pemimpin Islam seluruh dunia, khusus dari negara ini. Kutukan dan teguran sahaja tidak memadai. Sebelum menunjuk sikap, sila usir Zionis dari dalam kelambu sendiri.
sumber: faisal tehrani

Monday, May 31, 2010

Dunia Arab Bersatu Mengutuk Serangan Israel Ke Atas Konvoi Freedom Flotilla


Terkini : Kesatuan Eropah(EU) meminta supaya diadakan siasatan berhubung serangan Israel ke atas armada pembebasan.

Sementara itu, NGO-NGO Britain mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan Kerajaan Britain sebagai bantahan berikutan Britain yang mendiamkan diri setelah Israel kapal armada pembebasan.

10.25 pagi, Mesir/Palestin : Tunjuk perasaan di hadapan bangunan Kesatuan Sekerja di Jordan sebagai bantahan serangan Israel ke atas kapal-kapal pembebasan.

Tunjuk perasaan itu berarak ke Wisma Kerajaan Jordan bagi membantah serangan Israel.

10.20 pagi, Mesir/Palestin : Ismail Haniah menghubungi Amir Qatar dan membincangkan berkenaan serangan Israel ke atas armada pembebasan.

10.15 pagi, Mesir/Palestin : Menurut jurucakap tentera penjajah, Afekhai Adraie bahawa kapal-kapal armada pembebasan akan diperiksa di pelabuhan Ushdud, Israel.

09.45 pagi, Mesir/Palestin : Penduduk Turki yang cuba merempuh bangunan konsul Israel di Istanbul kini mengepung semula bangunan konsul Israel.


08.40 pagi, Mesir/Palestin : Lanun(angkatan tentera laut Israel) telah menguasai armada pembebasan dan kapal-kapal armada ditunda(dibawa) ke pelabuhan Ushdud, Israel. Maaf jika kami menggunakan istilah 'lanun'. Berita yang sebenar tidak menyatakan lanun tetapi kami sendiri melabelkan Israel, 'lanun'.

Jumlah yang korban dalam serangan Israel ke atas armada pembebasan seramai 16, manakala cedera dan luka parah dalam lingkungan 32 orang. Dinyatakan lagi, dari jumlah yang terkorban, 9 adalah Turki dan baki dari Negara Arab.

Kapal-kapal yang dikuasai lanun akan tiba di pelabuhan Ushdud, Israel dalam masa dua jam lagi.

08.40 pagi, Mesir/Palestin : Suasana marah di Semenanjung Gaza berikutan serangan kejam Israel ke atas armada pembebasan.

Menurut Timbalan Ketua Gerakan Islam 1948 Palestin, penjajah meningkatkan bantuan ketenteraan di utara Tebing Barat berikutan berita mengenai Syeikh Raed Salah yang luka parah dalam serangan Israel.

Terkini: Ismail Haniah meminta Setiausaha Agung PBB agar campur tangan dengan memberikan perlindungan antarabangsa kepada para aktivis armada pembebasan.

HAMAS menyerus kepada semua penduduk dunia agar mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Israel di seluruh dunia.


08.30 pagi, Mesir/Palestin : Syeikh Raed Salah, Ketua gerakan Islam 1948 yang menyertai konvoi tersebut mengalami luka parah akibat serangan tentera penjajah.

08.10 pagi, Mesir/Palestin : Setakat ini 16 mangsa korban akibat serangan Israel yang masih berterusan. (ada laporangan yang mengatakan jumlah korban meningkat ke 20)

Dinyatakan, beratus-ratus tentera Israel(tidak pasti berapa) terlibat dalam operasi menyerang kapal armada pembebasan. Dua tentera penjajah mengalami kecederaan ketika melancarkan operasi itu. Bagaimanapun, wartawan menjelaskan, para aktivis terpaksa mempertahankan diri dan kapal dari dirampas.

Sehingga kini, tentera Israel masih meneruskan operasinya. Dan tidak diketahui sampai bila, operasi serangan ini akan dihentikan.

07.50 pagi, Mesir/Palestin : Kabinet menteri Kerajaan Palestin Gaza mengadakan perjumpaan tergempar berhubung serangan itu.

Tahir Nunu, jurucakap rasmi Kerajaan Palestin Gaza mengutuk keras serangan Israel ke atas kapal armada pembebasan.

07.50 pagi, Mesir/Palestin : Pengawalan Israel melarang media-median Israel menyiarkan mangsa serangan di atas kapal armada pembebasan.

07.50 pagi, Mesir/Palestin : Beratus-ratus penduduk Turki merempuh pagar konsul Israel di Istanbul. Mereka mendesak supaya duta Israel dihalau dari Turki. Pihak polis terpaksa mengambil langkah mengetatkan kawalan keselamatan berikutan tindakan rempuhan itu.

Mereka(penduduk Turki) yang bertekad merempuh pagar konsul Israel tidak akan meninggalkan kawasan itu selagimana aktivis-aktivis tidak pulang dengan selamat.


07.25 pagi, Mesir/Palestin : Duta Israel ke Turki telah dipanggil Kerajaan Turki berikutan serangan itu.

07.15 pagi, Mesir/Palestin : Bot-bot perang Israel mengawal perairan pantai Gaza. Kedengaran bunyi tembakan dari bot laju penjajah.

Sebagaimana dinyatakan, Menteri Perang Israel, Ehud Barak yang mengeluarkan keputusan untuk menyerang armada pembebasan ketika perjumpaan dengan pegawai-pegawai tentera.

Sehingga kini, Israel masih membisu dengan apa yang dilakukannya terhadap armada pembebasan.

Gambar: Kapal lanun zionis

Menurut siaran televisyen Israel, jumlah yang terkorban dalam serangan Israel itu seramai 10 orang dikalangan aktivis.

Dijelaskan lagi, penjajah mula merempuh kapal pada jam 4.00 pagi(Mesir/Palestin). Sumber, berita Al-Jazeerah


06.45 pagi, Mesir/Palestin : Pemerintah Turki mengadakan perjumpaan bagi membincangkan tentang serangan Israel ke atas kapal armada pembebasan.

Menurut web berita safa.ps, Dua terkorban akibat serangan Israel ke atas kapal armada, manakala 30 lagi mengalami luka dan cedera.

Terkini: Ismail Haniah, Perdana Menteri Palestin, Gaza mengecam keras serangan penjajah ke atas kapal-kapapl armada pembebasan. Beliau mendesak supaya keselamatan para aktivis dijamin.

06.11 pagi, Mesir/Palestin : Menurut berita ada kematian di pihak aktivis dan berpuluh yang cedera akibat serangan penjajah.

05.23 pagi, Mesir/Palestin : Aktivis memohon bantuan melalui telefon satelit, terd
apat tiga yang cedera dan memerlukan rawatan segera.


05.21 pagi, Mesir/Palestin : Penjajah pisahkan kapal-kapal serta melepaskan bom gas.

Gambar sebelah: Kelihatan 2 komander Israel yang merempuh naik ke kapal.

05.10 pagi, Mesir/Palestin : Siaran televisyen Turki menunjukkan gambar rempuhan tentera penjajah ke atas kapal-kapal armada pembebasan.

05.05 pagi, Mesir/Palestin : Hubungan telekomunikasi terputus dengan armada pembebasan.


02.21 pagi, Mesir/Palestin : Menurut Pertubuhan Pembebasan Sekatan dari Eropah, sebahagian besar dari alat komunikasi armada pembebasan telah
terputus hubungan. safa.ps

Gambar: Bot laju tentera penjajah


02.05 pagi, Mesir/Palestin : Wartawan Al-Jazeerah melaporkan, sejam yang lalu bahawa muncul bot laju tentera Israel berada dalam jarak agak jauh dari armada. Kapal Turki memperlahankan kelajuan agar kapal-kapal barang/kargo dapat mengikut dari belakang. Armada pembebasan mendekatkan jarak antara kapal-kapal agar Israel tidak boleh merempuh.

Sehingga kini, kapal-kapal Israel masih mengekori armada pembebasan dari jarak yang jauh sehingga menemui garisan perairan Gaza dari jarak 60 kilometer sebagaimana yang dimaklum.

Gambar: Helikopter Israel ketika mengepung Mavi Marmara.

Para aktivis telah bersedia bagi mempertahankan kapal-kapal, malah tidak akan membiarkan Israel dengan mudah menguasai kapal.

Masing-masing dari enam buah kapal telah bersepakat tidak akan menggunakan kekerasan, khususnya kapal Turki yang membawa ramai aktivis berlainan Negara..

Sekiranya, tidak berlaku apa-apa rintangan, armada pembebasan akan tiba di perairan laut Gaza pada jam 10.00 atau jam 11.00 pagi esok. Berita langsung dari armada pembebasan

________________________________

01.33 pagi, Mesir/Palestin : Pertubuhan Pembebasan Sekatan dari Eropah menghubungi Kementerian Luar Greek agar melindungi kapal Greek. safa.ps

01.18 pagi, Mesir/Palestin : Menurut TV Turki, helikopter Israel berlegar-legar dari ruang udara tempat pelayaran armada pembebasan. Manakala, kapal-kapal Israel melingkungi kapal-kapal armada pembebasan. safa.ps

________________________________

12.50 pagi, Mesir/Palestin : Tiga buah kapal terputus hubungan. safa.ps

________________________________

12.45 pagi, Mesir/Palestin : Menurut Pertubuhan Pembebasan Sekatan dari Eropah, kapal-kapal Israel sedang belayar tidak jauh dari armada pembebasan. safa.ps

________________________________

12.43 pagi, Mesir/Palestin : Tunjuk perasaan di Istanbul membantah tentangan kapal Israel ke atas armada pembebasan di laut. safa.ps

________________________________



12.03 tengah malam, Mesir/Palestin, 31/05/2010 : Sumber Israel menyiarkan berita yang bercanggah mengenai angkatan tentera laut Israel yang mengepung armada pembebasan. safa.ps

Peta: Petak berwarna biru muda adalah lingkungan pelayaran armada pembebasan menuju ke perairan Gaza dari perairan antarabangsa Cyprus. Titik merah adalah kedudukan pelabuhan Ushdud, Israel. Manakala, titik hijau adalah kedudukan pelabuhan nelayan Gaza, Semenanjung Gaza yang merupakan destinasi pelayaran armada pembebasan.
________________________________

11.40 malam, Mesir/Palestin : Tentera laut Israel mengganggu sistem komunikasi sebuah kapal serta menghubungi kapal itu supaya berpatah balik. safa.ps
________________________________

11.28 malam, Mesir/Palestin : Kapal-kapal armada pembebasan telah sampai di jarak 120 batu nautika dari perairan laut Gaza. safa.ps

1 batu nautika : 1.9 kilometer
________________________________

11.00 malam, Mesir/Palestin : Sebuah kapal armada mendapat panggilan dari bot perang Israel yang bertanyakan tentang identiti dan arah tuju.

Sejam yang lalu, seorang wartawan memaklumkan bahawa Israel telah menyiapkan empat buah kapal perang di perairan Gaza menanti ketibaan armada.

Sumber dari berita Al-Jazeerah pula menyatakan, di pelabuhan Ushdud, bot-bot perang Israel sedang menjalankan rondaan.
________________________________

09.12 malam, Mesir/Palestin : Wartawan Al-Jazeerah dari kapal melaporkan, armada pembebasan sedang berlayar menuju ke perairan laut Gaza.

Sebelum itu, wakil dari pertubuhan menyatakan armada pembebasan itu dijangka tiba di perairan laut Gaza pada waktu tengahari esok.

Beliau menukilkan dari media-media Israel bahawa pihak Israel berusaha untuk menyerang armada. Namun, beliau menyatakan, pihak aktivis-aktivis akan mempertahankan diri dan kapal-kapal tanpa menggunakan senjata, seperti pisau.

Beliau turut merasa optimis, bahawa Israel berada dalam keseorangan diri menentang armada pembebasan ini, sedangkan armada pembebasan ini disokong banyak buah Negara.

Wartawan Al-Jazeerah dalam liputannya, berkata 'kami tidak akan membiarkan Israel merampas kapal, kami akan pertahan agar tentera-tentera Israel tidak dapat naik ke kapal dengan cara yang aman'. Sumber, berita langsung dari 'armada pembebasan'
________________________________

09.11 malam, Mesir/Palestin : 2000 penunjuk perasaan di hadapan bangunan kedutaan Israel di Vienna bantah ugutan Israel ke atas armada pembebasan.
________________________________

06.38 petang, Mesir/Palestin : Armada menerima panggilan yang memberi amaran sekiranya memasuki perairan laut Gaza. Gangguan komunikasi sesama kapal-kapal armada.

Amin Abu Rashid, dari kapal '8000'(gambar), berkata 'Pihak Berkuasa Penjajah meningkatkan usahanya bagi mengganggu komunikasi(wireless) yang digunakan sesama kapal-kapal dan untuk menghubungi dunia luar.

Bagaimanapun, teknikal armada berusaha memintas usaha penjajah menceroboh wireless armada. Sumber web berita safa.ps
________________________________

Sebagaimana yang dinyatakan[03.25 petang, Mesir/Palestin] dari wartawan Al-Jazeerah, armada dijangka akan berlepas bila-bila masa sahaja menuju ke perairan Gaza dan harapan dapat tiba di Gaza pagi esok, Isnin.

Dinyatakan sebarang kemungkinan boleh berlaku(kullal khiarat maftuhah) apabila bertemu dengan tentera laut Israel.

Para aktivis telah berbincang hari ini bagi mencari persepakatan jika berlaku sebarang penentangan dari Israel, malah keteguhan untuk tidak menyerahkan kapal-kapal kerana armada pembebasan membawa barang-barang dan bekalan bantuan kepada Gaza.

Kesemua kapal yang bakal berlepas ke Gaza dari perairan antarabangsa itu sebanyak enam buah, tiga buah kapal kargo/barang dan tiga buah kapal penumpang(feri dan bot). Jumlah anak-anak kapal seramai 650 aktivis termasuk ahli-ahli parlimen dari berbagai-bagai Negara.

Sebarang perubahan masa dan waktu yang dijangka berlepas tertakluk kepada penyelarasan IHH. Sumber, berita langsung dari 'armada pembebasan'