- Jan 31st, 2011
- by Hilal Asyraf
Beberapa hari lagi Maulidur Rasul SAW. Oh, saban tahun kita melaluinya
bukan? Saban tahun hari lahir Rasulullah SAW kita sambut dengan meriah.
Ada yang buat perarakan. Ada yang buat majlis itu dan majlis ini. Tazkirah
-tazkirah mengingati baginda turut diperdengarkan.
Tetapi saban tahun ulangan semua rutinan itu, apakah yang kita ambil
pengajaran?
Adakah pegangan Rasulullah kita tanam kemas sebagai pegangan kita?
Apakah suri teladan Rasulullah, kita ambil sebagai peribadi kita?
Atau kita kekal mengambil contoh-contoh lain yang tidak syar’ie
sebagai idola kita?
Tahukah kita, pada Rasulullah itu punya motivasi yang tertinggi dan
tidak tertanding?
Maka di dalam artikel ini kita lihat, dan mencerahkan penglihatan
kita yang terdinding.
Rasulullah itu, dan kepercayaan baginda.
Satu perkara yang saya teruja dengan Rasulullah SAW, adalah
keutuhan keimanan baginda.
Bayangkan ya, baginda menerima wahyu pertama di dalam gua,
tempat tiada siapa yang memerhatikan baginda. Beliau pula menerima
wahyu daripada Malaikat yang tidak kelihatan dek mata manusia.
Baginda berurusan dengan Allah, menerima arahan daripadaNya,
menerima perintah dan larangan daripadaNya, yang mana Allah
itu langsung tidak mampu diperhatikan oleh sesiapa.
Kemudian, jalan yang baginda tempuhi, dalam membawa perintah
daripada Yang Tidak Terlihat itu bukanlah jalan yang mudah. Penuh
cabaran, dihampari onak dan duri. Dia pula diperangi oleh
kaumnya sendiri. Bahkan cuba dibunuh oleh kaum kerabat
Makkahnya sendiri.
Jika baginda itu, hendak memberikan alasan bahawa apa yang
diarahkan kepada baginda itu adalah ‘satu kerja gila, yang hanya
orang-orang gila sahaja yang melakukannya’, maka baginda
adalah yang paling layak memberikan alasan itu untuk tidak
berusaha menyebarkan kalam Allah SWT.
Sebab siapa yang nampak Allah? Siapa yang nampak Malaikat?
Tiada. Ditambah pula, arahan daripada yang tidak ternampak
itu bukannya membawa kepada kesenangan hidup, bahkan perlu
menempuhi cabaran dan dugaan, serta yang dijanjikan kesenangan
yang sebenarnya pula adalah di akhirat, satu tempat yang juga
tidak kelihatan. Dan baginda, Rasulullah SAW yang kita cinta
itu, perlu meyakinkan masyarakat untuk mengambil
kepercayaan itu?
Dapatkah kita melihat ‘pressure’ pada Rasulullah SAW?
Tetapi perhatikan baginda. Saya ulang. Perhatikan baginda.
Ya, perhatikan baginda.
Apakah baginda memberikan alasan? Tidak.
Apakah baginda mengeluh dan berhenti? Tidak.
Apakah baginda merungut dan mencaci tugasannya? Tidak.
Mengapa? Soalannya, mengapa?
Sedangkan, baginda adalah paling berhak untuk menyatakan
‘ini semua kerja gila’, ‘nanti orang kata apa’, ‘pasti semua
akan memerangi aku’, dan ketakutan-ketakutan lain. Tetapi
mengapa baginda tidak menyatakannya? Mengapa baginda
memilih untuk meneruskan perjuangan baginda?
Kerana inilah dia kebenaran. Dan baginda ‘melihat’ kebenaran
itu. Baginda ‘merasai’nya. Maka baginda yakin dengannya,
dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Sehingga sedikit
kegoyahan pun tidak pernah terzahir dalam pergerakan
baginda. Maka baginda berjuang, berjuang menegakkan
kebenaran yang baginda rasai tadi, hingga ke penghujung
nafas baginda.
Dan kita?
Lihatlah baginda
Lihatlah baginda, saat Abu Talib meminta baginda menghentikan
tugasan dakwah baginda kerana orang-orang Quraisy mula
meminta untuk membunuh baginda, apakah yang baginda nyatakan?
“Wahai pakcikku, andai mereka meletakkan matahari
di tangan kananku, dan bulanj di tangan kiriku, aku tetap
tidak akan menghentikan kerja-kerja ini, sehingga Allah
memenangkanku atau aku binasa kerananya.”
– Sirah Raheeq Al-Makhtum.
Lihatlah baginda, saat penyeksaan terhadap kaum muslimin
Makkah meningkat, apabila ada sahabat mengeluh dan
mempersoalkan bantuan Allah SWT, baginda menjawab:
“Dan Allah akan menyempurnakan hal ini(dakwah Islam)
hingga nanti ada yang merentasi padang pasir dari San’a
ke Hadhramaut(kedua-duanya adalah kawasan di Yaman)
dalam keadaan tidak takut kepada apa-apa selain Allah.”
- Sirah Ibn Hisham.
Lihatlah baginda saat berada di dalam Gua Tsur dan Kaum
Musyrikin Makkah sudah berada di hadapan pintu gua, Abu Bakr
RA ketika itu pula ketakutan, baginda bersabda:
“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kau sekiranya kita berdua,
dan yang ketiganya adalah Allah?” – Sirah Raheeq Al-Makhtum.
Dan lihatlah apabila baginda dan para sahabat dipulaukan selama
tiga tahun tiga bulan, hingga mulut mereka pecah kerana terpaksa
memakan pucuk kayu, hingga mereka terpaksa merebus kulit
kasut mereka untuk mengalas perut, lihatlah baginda selepas
penyeksaan itu berakhir, apakah baginda berhenti?
Tidak sama sekali.
Lihatlah baginda. Lihatlah baginda. Apakah kita ini tidak memerhati?
Kita
Kita sering mengeluh dan memberikan alasan. Kita sering
merungut dan melepaskan keluhan. Kita tidak betah berkerja
sedikit keras untuk menegakkan kepercayaan ini. Kita tidak
senang untuk berkorban untuk menyebarkan kepercayaan ini.
Bahkan, jangan kata memperjuangkan kepercayaan ini,
ramai pula kalangan kita malas untuk mengambil kepercayaan
ini sebagai cara hidup kita.
Sedangkan ada satu susuk tubuh yang mulia, telah menunjukkan
contoh tersolid buat ikutan kita. Itulah dia Rasulullah SAW.
Yang mana kalau di dalam hal memberikan alasan dan rungutan,
bagindalah orang pertama yang sepatutnya berbuat demikian.
Daripada baginda, kita belajar.
Kita sepatutnya ekstrak kekuatan daripada keimanan.
Kita beriman perkara yang sama juga dengan baginda.
Tiada perbezaan langsung pun. Yang berbezanya adalah,
sedalam mana kita beriman kepada perkara itu. Sedalam mana
keimanan kita kepada Allah SWT? Sedalam mana keyakinan kita
kepada janji-janji Allah SWT?
Maka sepatutnya kita melihat kepada Rasulullah SAW.
Tidakkah kita merasakan bahawa, sekiranya kita mencontohi
baginda, mengambil motivasi daripada kehidupan baginda,
tiada siapa yang mampu menewaskan kita?
Penutup: Lihatlah baginda, dan belajar
Namun hari ini siapakah yang menyelak sendiri helaian-helaian
buku sirah baginda? Siapakah yang berusaha mencari buku-buku
sirah yang sohih yang dikarang oleh ulama’ mukhtabar seperti
Buku Sirah Raheeq Al-Makhtum karangan Mubarak Furi, atau
Buku Fiqh Sirah oleh Sheikh Ramadhan Al-Bouty?
Kadangkala kita melayan sirah Rasulullah ini seperti lagenda
Hang Tuah. Yang kita dengar-dengar daripada mulut orang sahaja,
kemudian kita usung ke hulu-hilir. Sedangkan, Rasulullah itu
sepatutnya menjadi kecintaan kita yang tertinggi, maka sirah
baginda pastilah kita cari dari sumber yang tersohih. Pastinya
tidak cukup daripada sekadar ceramah-ceramah dan tulisan
artikel seperti ini.
Namun Rasulullah itu kita lupakan. Pegangan baginda tidak kita
ambil. Perjalanan perjuangan baginda tidak kita lihat. Contoh
tauladan baginda kita tinggalkan.
Kemudian bila masalah menimpa, kita minta untuk dimotivasikan?
Saya teramat yakin, sesiapa yang melihat cara hidup Rasulullah SAW,
peribadi baginda, perjuangan baginda, akan menjadi manusia
yang paling bermotivasi di atas dunia.
Kerana siapakah yang lebih berat lagi dugaan dan cabarannya
daripada baginda Rasulullah SAW? Dan sejarah telah
membuktikan, baginda adalah seorang yang berjaya mengharunginya.
Apatah lagi dugaan kita yang tidak seberapa, bukan?
Mari, lihat semula kepada Rasulullah SAW. Dan belajar.
~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)
No comments:
Post a Comment