- Jan 17th, 2011
- by Hilal Asyraf.
- 49 comments
Rasa berdosa adalah satu perasaan yang positif. Itu tandanya, jiwa kita
masih hidup,hati kita masih peka.
Mempunyai perasaan bahawa diri ini berdosa apabila melakukan kesalahan,
adalah kunci utama untuk bergerak ke arah kebaikan. Menjadi satu masalah
apabila kita kehilangan rasa berdosa apabila melakukan kesalahan,
kerana pastinya ketiadaan rasa berdosa itu adalah kerana kita
memandang kesalahan kita satu perkara yang normal.
Namun, terdapat beberapa orang yang silap dalam memandang rasa
berdosa ini.
Kesilapan mereka, membuatkan rasa berdosa memberikan impak
negatif di dalam kehidupan mereka.
Mereka rasa berdosa, sehingga mereka tidak lagi bergerak ke arah
kebaikan. Kerana mereka merasakan bahawa mereka kotor, dan
tidak lagi boleh disucikan.
Ini adalah rasa berdosa yang silap, dan tidak sepatutnya.
Rasa berdosa yang sepatutnya
Rasa berdosa yang sepatutnya, adalah membawa kepada peningkatan
diri.
Kita rasa berdosa, lantas kita bergerak mensucikan diri. Kita melakukan
kesalahan, segera kita bergerak memperbaikinya. Rasa berdosa
menggerakkannya.
Hal ini kerana, rasa berdosa kita sewajibnya perlu datang dengan iringan
kefahaman dan kepercayaan bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun
Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
Tetapi kalau kita rasa berdosa, rasa diri kita ini kotor, tetapi pada masa
yang sama kita menutup pintu hati kita daripada keampunan Allah SWT
yang luas, maka kita hanya akan bergerak ke lurah kehancuran.
Allah dan kefahamanNya kepada kita
Allah adalah pencipta kita. Yang paling memahami kita adalah Dia. Dia
adalah yang paling tahu kadar kemampuan kita. Dia adalah yang paling
tahu akan keadaan kita. Allah itu Maha Tahu, sebelum Dia menciptakan
kita lagi, bahawa manusia ini akan melakukan dosa. Memang Dia
menciptakan kita demikian.
“Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya) serta mengilhamkannya
(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan
yang membawanya kepada bertaqwa.” Surah Asy-Syams ayat 7-8.
Maka adakah Allah sekadar menjanjikan azab siksa untuk yang ingkar
sahaja?
Adakah Allah mendiskriminasikan pendosa sedangkan Dia memang
menciptakan kita dengan kemungkinan untuk berdosa?
Tidak. Tetapi lihatlah apa yang Allah katakan kepada para pendosa:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa
dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan
segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53.
“Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang
kepadamu, lalu memohon ampunkepada Allah, dan Rasul pun
memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati
Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.”
Surah An-Nisa’ ayat 64.
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan
keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu
memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang
dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?”
Surah Ali Imran ayat 135.
Nah. Allah itu memberikan ruang dan peluang kepada kita.
Maka mengapa perlu rasa berdosa sehingga tidak mahu bergerak
ke arahNya?
Syaitan yang menipu
Di dalam hal rasa berdosa sehingga tidak lagi mahu melakukan
kebaikanini, kita tidak boleh lupakan ‘sahabat karib’ manusia
yang sentiasa berusaha membawa manusia kepada kecelakaan akhirat.
Itulah dia Iblis, Syaitan dan kuncu-kuncunya.
Mereka ini mempunyai pelbagai taktik. Antaranya, menggunakan
kepositifan untuk membawa kepada kenegatifan. Contohnya adalah
apa yang kita sedang bincangkan.
Rasa berdosa adalah positif. Tetapi syaitan akan membisikkan kepada
kita keputus asaan.
“Kau dah berdosa teruk ni, tak boleh patah balik dah ni.”
“Ini dosa besar ni, Allah memang dah tak akan pandang kau lagi.”
Dan kita akhirnya berlari pergi daripada Allah, daripada kebaikan,
kerana kita merasakan bahawa: “Aku bukan orang-orang itu lagi. Aku
dah tak boleh diselamatkan. Tak boleh patah balik.”
Sedangkan, Allah sentiasa membuka ampunanNya kepada manusia.
“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan
dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah
menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan
Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Surah Al-Baqarah ayat 268.
Adalah berbeza orang itu dan orang ini.
Namun, ada segolongan manusia yang keji. Mereka ini adalah
pengkhianat.
Pengkhianat kepada rahmat dan kasih sayang Allah yang luas.
Mereka memang sengaja melakukan dosa, dan bertaubat dalam keadaan
“Bila taubat ni, dosa haritu dah terpadam. Jadi, bolehlah buat lagi dosa.
Nanti taubatlah semula.”
Dia melakukan dosa dengan sengaja, dengan perasaan bahawa dosanya itu
tidak mengapa kerana nanti boleh bertaubat. Ini adalah pengkhianatan
kepada kasih sayang Allah SWT.
Mereka ini berbeza dengan golongan yang rasa berulang kali melakukan
dosanya, dalam keadaan benci kepada dosanya dan bersungguh-sungguh
berjuang meninggalkannya.
Memang wujud isyarat bahawa Allah SWT menyuruh manusia berulang
kali bertaubat. Tanda bahawa manusia ini memang akan melakukan
kesalahan berulang-ulang. Namun adalah amat berbeza berulang-ulang
melakukan dosa dengan sukarela, tanpa ada usaha-usaha mencegahnya,
dengan terulang dosa kerana tertewas dalam perjuangan menentangnya.
Persoalannya, apakah kita menentang dosa kita? Atau kita menerima
dengan tangan terbuka? Adakah kita merancang untuk menjauhi dosa,
atau kita tidak merancang untuk menjauhinya? Nyata dua golongan
itu punya perbezaan yang sangat ketara.
Penutup: Maka janganlah berputus asa. Bergeraklah ke arah kebaikan.
Maka janganlah berhenti melakukan kebaikan, hanya kerana semata-
mata rasa berdosa. Rasa berdosa itu positif. Positif kerana ia memacu
kita untuk beramal dengan lebih kuat bagi menebus kesilapan kita.
Maka jangan kita negatifkannya dengan merasakan kita terlalu
kotor untuk diampunkan.
Siapakah kita yang hendak melimitkan kuasa pengampunan Allah
kepada kita?
“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, (bahwa) untuk mereka ampunan dan pahala
yang besar.” Surah Al-Maidah ayat 9.
Dan ayat Allah SWT ini jelas menunjukkan bahawa, keampunan itu
datang dengan beramal soleh. Rasa berdosa semata-mata tidak
akan menyelamatkan kita. Jika benar rasa berdosa, maka sepatutnya
kita meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang
berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan
rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Surah Al-Baqarah ayat 218.
Bergeraklah. Padamkan dosa kita dengan bergerak ke arah kebaikan.
Sesungguhnya Allah SWT itu ampunanNya luas dari jangkaan.
~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)
No comments:
Post a Comment