jom zikir...

Powered By Blogger

Sunday, May 16, 2010

proses yang menciptakan keajaiban

Hendak menadi hebat, ada tangga-tangganya. ~ Picture by complejo  of Deviant Art

Hendak menadi hebat, ada tangga-tangganya. ~ Picture by complejo of Deviant Art

Abu Bakr RA pada satu hari telah menginfakkan seluruh hartanya di jalan Allah SWT. Rasulullah SAW bertanya dengan sabda baginda: “Maka, apakah yang kamu tinggalkan untuk keluargamu?” Abu Bakr RA tanpa ragu menjawab: “Aku tinggalkan untuk mereka Allah dan rasul-Nya”

Suhaib Ar-Rumy RA ketika ditahan di sempadan Makkah semasa hijrah, sudi mengorbankan seluruh hartanya, dengan meninggalkan kesemuanya kepada orang Quraisy agar dia dibenarkan pergi ke Madinah tanpa diganggu.

Sumaiyah RH, telah memilih untuk mati dibunuh dari menggadai keimanannya.

Abdurrahman RA telah dipersaudarakan dengan Sa’ad Ibn Muaz RA semasa peristiwa Hijrah. Sa’ad Ibn Muaz RA sanggup menawarkan separuh hartanya, dan hendak menceraikan seorang isterinya untuk Abdurrahman RA memulakan hidup di Madinah. Tetapi Abdurrahman RA dengan penuh sopan menolak, bahkan berusaha memulakan kehidupan sendiri dengan pinjaman wang.

Anas ibn Nadhr RA, apabila melihat para sahabat telah meletak senjata di medan Uhud selepas mendapat khabar kewafatan Rasulullah, lantas berkata: “Mengapa kalian begini?” Sahabat-sahabat menjawab: “Rasulullah telah wafat”. Segera Anas ibn Nadhr RA menjawab: “Maka, apa kita tunggu lagi? Mari kita ikuti baginda!” dan dia mati sebagai syuhada’ dalam keadaan tubuhnya hancur penuh dengan lubang tikaman dan panahan.

Rib’i Ibn Amir mampu berdiri dengan gah di hadapan Rustum seorang diri tanpa gentar, bahkan mengucapkan bicara yang hebat: “Sesungguhnya, kami ini didatangkan untuk mengeluarkan kalian dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat” Sedangkan Rib’i Ibn Amir hanyalah tentera biasa berpangkat utusan sahaja.

Apakah yang telah melahirkan manusia-manusia ini, sehingga mereka mampu berbuat sedemikian rupa? Apakah rahsia mereka? Dan adakah memang tiada cara untuk kita menjadi seperti mereka?


Khairu ummah itu adalah mereka

Setakat ini, yang merupakan pemegang rekod sebagai khairu ummah adalah generasi awal para sahabat yang bersama dengan Rasulullah SAW.

Allah SWT berfirman:

“Kamu adalah ummat yang terbaik, yang dilahirkan kepada manusia, kamu mengajak kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan kamu beriman kepada Allah.” Surah Ali Imran ayat 110.

Mereka adalah generasi yang memenuhi ciri-ciri khairu ummah yang hakiki. Iaitu Mengajak kepada yang makruf, mencegah dari yang munkar dan mereka menjalankan semua itu dalam keadaan beriman kepada Allah SWT.

Mereka mampu melaksanakan demikian, kerana mereka menjalani satu proses yang ‘istimewa’.

Proses itu bernama Tarbiyah Islamiyyah

Peribadi-peribadi hebat seperti Abu Bakr RA, Umar Al-Khattab RA, Uthman ibn Affan RA, Ali Ibn Abi Talib RA, Khalid ibn Walid RA, Suhaib Ar-Rumi RA, Bilal bin Rabah RA, Sumayyah RH, Aisyah RH, Nusaibah RH, dan ramai lagi di dalam Islam, lahir dari proses bernama tarbiyah Islamiyyah.

Apakah yang dinamakan proses tarbiyah islamiyyah?

Ia merupakan satu proses yang membawa manusia kembali kepada Allah SWT, secara tersusun dengan menggunakan manhaj Rabbani, yakni sistem ciptaan Allah SWT. Aturannya adalah aturan wahyu, yang digerakkan oleh Rasulullah SAW.

Komponen utama di dalam tarbiyah adalah tiga. Yang semuanya termaktub di dalam firman Allah SWT:

“Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari karat-karat jahiliyyah), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” Surah Al-Jumu’ah ayat 2.

Tiga komponen ini, iaitu: 1. Membacakan mereka ayat-ayat Allah, 2. Membersihkan diri dari karat-karat jahiliyyah, 3. Mengajarkan mereka Al-Quran dan As-Sunnah, merupakan resipi utama di dalam tarbiyah islamiyyah, yang berjaya membentuk generasi awal.

Matlamat proses ini hanya satu. Iaitu mengeluarkan manusia dari kesesatan yang nyata, dan membentuk peribadi yang merupakan hamba Ilahi yang sejati.

Inilah proses yang dijalankan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat-sahabatnya. Dan kalau dikaji dengan lebih mendalam, pergerakan dakwah Rasulullah SAW pasti dituruti dengan proses tarbiyah terhadap mereka yang telah menerima dakwah baginda.

Proses ini mula dijalankan di Rumah Arqam bin Abi Arqam, seterusnya meluas kepada segenap kehidupan di Madinah. Limit proses tarbiyah pula bukan sekadar di dalam usrah dan perjumpaan sahaja, tetapi Rasulullah SAW meluaskannya seluas saujana apabila akhlak 24 jam sehari juga menjadi satu tarbiyah kepada sahabat-sahabat baginda. Pendek kata, proses tarbiyah berjalan sepanjang waktu, setiap masa, tempat dan ketika.

Ini menyebabkan kekuatan mereka berganda bukan dari sekadar angka.

Tetapi juga kualiti yang tidak terjangka.

Proses ini telah ditinggalkan kita

Hari ini, kita tidak mengambil proses tarbiyah islamiyyah secara menyeluruh. Kita terus menterjemahkan Tarbiyah hanya kepada makna perkataannya sahaja. Tarbiyah, jika diterjemahkan secara terus adalah Pendidikan. Maka tarbiyah Islamiyyah adalah Pendidikan Islam.

Kalau kita melihat proses tarbiyah itu adalah dengan kita mempelajari Mata Pelajaran Pendidikan Islam, PQS, PSI, Tasawwur Islam, Usuluddin, Usul Fiqh dan Ekonomi Islam serta pelbagai lagi mata pelajaran islamik, maka kita telah silap.

Proses Tarbiyah Islamiyyah yang hakiki, adalah yang mempunyai tiga komponen tadi, dan berjalan dengan berterusan setiap masa, ketika, tempat dan waktu dalam kehidupan. Proses tarbiyah adalah proses pembentukan. Bukan semata-mata proses penambahan ilmu. Ia hakikatnya adalah proses pembentukan diri dan jiwa agar benar-benar menjadi hamba Allah SWT yang sejati.

Hari ini, proses ini telah ditinggalkan oleh kita.

Sebab itu, akhlak seperti Abu Bakr, pengorbanan seperti Suhaib Ar-Rumi, kekuatan ukhuwwah dan adab berhubungan seperti Abdurrahman bin Auf dan Sa’ad ibn Mu’adz, pengorbanan seperti Sumayyah, keberanian Khalid Al-Walid, tidak mampu diwujudkan di dalam kehidupan kita, apatah lagi membentuknya dalam kelompok ramai sebagai masyarakat.

Metod Nabawi dari madrasah Rasulullah SAW ini, telah ditinggalkan oleh sistem hari ini, menyebabkan kita tidak mampu melahirkan manusia yang mengambil Islam secara menyeluruh. Yang lahir hanyalah mereka yang mengambil Islam separuh-separuh.

Menyebabkan kita dapat melihat, keadaan hari ini sesak dan runtuh. Kembali kepada kesesatan yang nyata. Melalui musim jahiliyyah yang kedua selepas jahiliyyah yang pertama ketika kedatangan Rasulullah SAW dahulu.

Penutup: Kejayaan, hanya datang dengan proses ini

Proses Tarbiyah Islamiyyah yang menyeluruh ini, merupakan satu-satunya jalan kejayaan. Hal ini kerana, prosesnya mencakupi segenap kehidupan. Bukan sekadar ilmu di kepala, tetapi juga membentuk peribadi dari lubuk jiwa.

Manusia-manusia yang melalui proses tarbiyah akan menjadi seperti permata yang digilap dari lumpur yang memalit. Menjadi berkilau gemilau indah. Kelebihannya akan mampu digunakan ke arah Islam, dan kerosakannya akan mampu ditinggal serta dipadam.

Seperti mana yang berlaku kepada generasi awal, yang datang dari longkang jahiliyyah kemudian bersinar terang sebagai seorang mukmin yang hebat. Lihat sahaja Umar Al-Khattab RA, seorang yang keras dengan Islam ketika menjadi seorang kafir bahkan pernah bersumpah membunuh Rasulullah. Tetapi selepas mendapat sentuhan tarbiyah, dia adalah yang keras dengan orang yang menentang islam, bahkan sanggup bergadai nyawa mempertahankan Rasulullah SAW.

Bagi sesiapa yang benar-benar hendak menjadi hamba kepada Ilahi, maka hendak tidak hendak, mereka perlu melalui proses tarbiyah Islamiyyah ini.

Baru hati terbasuh dan tercuci. Diri terbentuk, menjadi hamba Ilahi sejati.

dr blog langit ilahi.com

No comments:

Post a Comment