jom zikir...

Powered By Blogger

Thursday, February 3, 2011

ayaq kosong + serbuk kopi

Bismillahirrahmanirrahim...


Hari nie rasanya tak banyak yang boleh dikongsi. Tapi rasa nak share gak satu apa tah orang panggil perumpamaan kot. Benda ni dah lama dah nak kongsi sebenaqnya, tapi cam terbusy lak, ada ja reja nak kena buat. (Alasan ja tu...haha).Mai nak cerita, lebih kurang cmni la perbualan dia:


Budak Hitam : "Budak putih, nak tau tak, hati kita nie bleh diumpamakan macam ayaq kosong dalam gelas..."




Budak Putih: "Awat lak kata macam tu??"


Budak Hitam: "Cmnie...Cuba bayangkan kita buat dosa, tak kisah la kecik ka besaq. Ustazah selalu akan kata hati kita akan tumbuh satu titik hitam bila kita buat dosa..kn??"


Budak Putih: "Btoi3....(ala-ala upin ipin yang cute tu). Ehemm..."


Budak Hitam: "Cmtu la jugak hati kita, cuba kita bubuh serbuk kopi lam gelas yang ada ayaq kosong tadi. Masukkan sstu camca dlu..."


Budak Putih: "Mesti la lama-lama ayaq tu tukaq kaler*. Kompemnya...haha"


Budak Hitam: "Tau tak pa...Nak cerita kat sini cmnie, ayaq kosong yang kita campuq ngan serbuk kopi tu first dulu kita masukkan sikit...Kalo kita nak bagi ayaq tu jernih balik, kita cuma kena tambah bukan sikit ayaq kosong tapi banyak..kalo dah jernih pun mesti ada gak lagi sikit-sikit mendakan serbuk kopi yang kita bubuh tadi. Btoi tak??"




Budak Putih: "Btoi sangat la tu...hmmm (bpikiaq)"


Budak Hitam: "Hati kita cmtu la jugak nak ceritanya...Buat dosa kecik memang nampak cam tak dak pa-pa. Kalo sapa-sapa teguq pun kita bleh kata "alaa...dosa kecik ja pun". Tapi impak dia sangat la besaq. Payah nak tinggai."


("allahuakbar..allahuakbar...")


Budak Hitam: Jom p semayang dulu jom... :)


Budak Putih: Jom... :)
  


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<


Budak Putih: "Sambung la balik cerita kopi hang tadi tu..."


Budak Hitam: "Lupa lak nak kata siap-siap tadi, lani hang analogikan ayaq kopi tu cam titik hitam yang ustazah selalu kata tu.."


Budak Putih: "Okay.."


Budak Hitam: "Gelas tu hang bayangkan hati kita. Ayaq kosong tu hang anggap cam amalan kita la. Cmtu la lebih kurang."


Budak Putih: "Hmmm...senang ja tu...okay, aku dah bayang..."


Budak Hitam: "Camtu la hati kita sebenaqnya..Ayaq kopi tadi, dapat bayang tak berapa banyak ayaq kosong yang kita kena tambh nak bagi dia jernih balik??"


Budak Putih: "Sangat banyak."


Budak Hitam: "Tapi kita bubuh serbuk tadi tu sekali ja kan?Camtu la jugak titik hitam lam hati kita. Kalo nak buang tu kita kena tampung ngan banyak amalan kita balik. Nak buang segala benda hitam yang dah melekat kat hati kita..."




Budak Putih: "Tu baru dosa kecik, baru sekali kita buat dosa. Kalo betoi la tu first time..Camna la kalo kita dah buat banyak dosa kecik..Ya ALLAH..." (beristigfar)


Budak Hitam: "Sebab tu la kita kna sentiasa hisab balik apa yang kita dah buat. Bukan dok cari salah orang ja. Orang buat dosa ka salah tu kita nampak sangat. Kita sepatutnya hisab diri kita dulu. Kalo nak teguq tu kena berhikmah. Jaga maruah ngan ayaq muka dia."


Budak Putih: "Btoi sangat tu...Sebab tu la Islam anjurkan kita sebagai saudara sesama Islam teguq elok-elok kalo kawan kita buat silap. Jaga maruah dia. Kita tak boleh tiba-tiba nak melulu ja teguq. Satgi dok tiba-tiba hentam dia, silap-silap yang nak balik ke pangkal jalan truih u-turn tak mau dah, Sapa gak yang rugi..."


Budak Hitam: "Yup...Hamba ALLAH tu ngan kita...Dua-dua rugi.."


Budak Putih: "Sama-sama la kita perbaiki diri dan saudara-saudara kita ke arah yang lebih baik. InsyaALLAH... "






>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>><<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<
p/s: Silap lak, na da orang bancuh ayaq kopi panas lam gelas, mau pecah gelas tu...
Orang bancuh kopi lam cawan daa...hehe...Tak pa, yang penting analogi tu... :)


hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)

Rasa berdosa yang tidak sepatutnya.





Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. 
~picture by andy89 of Deviant Art.




Rasa berdosa adalah satu perasaan yang positif. Itu tandanya, jiwa kita 
masih hidup,hati kita masih peka. 

Mempunyai perasaan bahawa diri ini berdosa apabila melakukan kesalahan, 
adalah kunci utama untuk bergerak ke arah kebaikan. Menjadi satu masalah
apabila kita kehilangan rasa berdosa apabila melakukan kesalahan,
kerana pastinya ketiadaan rasa berdosa itu adalah kerana kita 
memandang kesalahan kita satu perkara yang normal.

Namun, terdapat beberapa orang yang silap dalam memandang rasa 
berdosa ini.

Kesilapan mereka, membuatkan rasa berdosa memberikan impak
 negatif di dalam kehidupan mereka.
Mereka rasa berdosa, sehingga mereka tidak lagi bergerak ke arah
kebaikan. Kerana mereka merasakan bahawa mereka kotor, dan 
tidak lagi boleh disucikan.

Ini adalah rasa berdosa yang silap, dan tidak sepatutnya.

Rasa berdosa yang sepatutnya

Rasa berdosa yang sepatutnya, adalah membawa kepada peningkatan
diri.

Kita rasa berdosa, lantas kita bergerak mensucikan diri. Kita melakukan 
kesalahan, segera kita bergerak memperbaikinya. Rasa berdosa
menggerakkannya.

Hal ini kerana, rasa berdosa kita sewajibnya perlu datang dengan iringan 
kefahaman dan kepercayaan bahawa Allah SWT itu Maha Pengampun
 Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.
Tetapi kalau kita rasa berdosa, rasa diri kita ini kotor, tetapi pada masa
yang sama kita menutup pintu hati kita daripada keampunan Allah SWT 
yang luas, maka kita hanya akan bergerak ke lurah kehancuran.

Allah dan kefahamanNya kepada kita

Allah adalah pencipta kita. Yang paling memahami kita adalah Dia. Dia 
adalah yang paling tahu kadar kemampuan kita. Dia adalah yang paling 
tahu akan keadaan kita. Allah itu Maha Tahu, sebelum Dia menciptakan 
kita lagi, bahawa manusia ini akan melakukan dosa. Memang Dia 
menciptakan kita demikian.

“Demi diri manusia dan Yang Menyempurnakan kejadiannya (dengan 
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya) serta mengilhamkannya
 (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan
 yang membawanya kepada bertaqwa.” Surah Asy-Syams ayat 7-8.

Maka adakah Allah sekadar menjanjikan azab siksa untuk yang ingkar
 sahaja?

Adakah Allah mendiskriminasikan pendosa sedangkan Dia memang 
menciptakan kita dengan kemungkinan untuk berdosa?

Tidak. Tetapi lihatlah apa yang Allah katakan kepada para pendosa:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang 
telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan
 perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa 
dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan
 segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, 
lagi Maha Mengasihani.” Surah Az-Zumar ayat 53.

“Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang 
kepadamu, lalu memohon ampunkepada Allah, dan Rasul pun 
memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati 
Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.” 
Surah An-Nisa’ ayat 64.

“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan 
keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu 
memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang 
dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?”
Surah Ali Imran ayat 135.

Nah. Allah itu memberikan ruang dan peluang kepada kita.

Maka mengapa perlu rasa berdosa sehingga tidak mahu bergerak 
ke arahNya?

Syaitan yang menipu

Di dalam hal rasa berdosa sehingga tidak lagi mahu melakukan 
kebaikanini, kita tidak boleh lupakan ‘sahabat karib’ manusia 
yang sentiasa berusaha membawa manusia kepada kecelakaan akhirat.
Itulah dia Iblis, Syaitan dan kuncu-kuncunya.

Mereka ini mempunyai pelbagai taktik. Antaranya, menggunakan
 kepositifan untuk membawa kepada kenegatifan. Contohnya adalah 
apa yang kita sedang bincangkan.

Rasa berdosa adalah positif. Tetapi syaitan akan membisikkan kepada
 kita keputus asaan.

“Kau dah berdosa teruk ni, tak boleh patah balik dah ni.”

“Ini dosa besar ni, Allah memang dah tak akan pandang kau lagi.”

Dan kita akhirnya berlari pergi daripada Allah, daripada kebaikan, 
kerana kita merasakan bahawa: “Aku bukan orang-orang itu lagi. Aku
 dah tak boleh diselamatkan. Tak boleh patah balik.”
Sedangkan, Allah sentiasa membuka ampunanNya kepada manusia.

“Syaitan menjanjikan (menakut-nakuti) kamu dengan kemiskinan 
dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir); sedang Allah 
menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan karunia. Dan 
Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
 Surah Al-Baqarah ayat 268.

Adalah berbeza orang itu dan orang ini.

Namun, ada segolongan manusia yang keji. Mereka ini adalah
pengkhianat.

Pengkhianat kepada rahmat dan kasih sayang Allah yang luas.

Mereka memang sengaja melakukan dosa, dan bertaubat dalam keadaan 
“Bila taubat ni, dosa haritu dah terpadam. Jadi, bolehlah buat lagi dosa. 
Nanti taubatlah semula.”

Dia melakukan dosa dengan sengaja, dengan perasaan bahawa dosanya itu 
tidak mengapa kerana nanti boleh bertaubat. Ini adalah pengkhianatan 
kepada kasih sayang Allah SWT.

Mereka ini berbeza dengan golongan yang rasa berulang kali melakukan 
dosanya, dalam keadaan benci kepada dosanya dan bersungguh-sungguh
 berjuang meninggalkannya.

Memang wujud isyarat bahawa Allah SWT menyuruh manusia berulang
 kali bertaubat. Tanda bahawa manusia ini memang akan melakukan 
kesalahan berulang-ulang. Namun adalah amat berbeza berulang-ulang 
melakukan dosa dengan sukarela, tanpa ada usaha-usaha mencegahnya, 
dengan terulang dosa kerana tertewas dalam perjuangan menentangnya.

Persoalannya, apakah kita menentang dosa kita? Atau kita menerima 
dengan tangan terbuka? Adakah kita merancang untuk menjauhi dosa, 
atau kita tidak merancang untuk menjauhinya? Nyata dua golongan 
itu punya perbezaan yang sangat ketara.

Penutup: Maka janganlah berputus asa. Bergeraklah ke arah kebaikan.

Maka janganlah berhenti melakukan kebaikan, hanya kerana semata-
mata rasa berdosa. Rasa berdosa itu positif. Positif kerana ia memacu 
kita untuk beramal dengan lebih kuat bagi menebus kesilapan kita.
 Maka jangan kita negatifkannya dengan merasakan kita terlalu 
kotor untuk diampunkan.

Siapakah kita yang hendak melimitkan kuasa pengampunan Allah
 kepada kita?

“Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman 
dan beramal soleh, (bahwa) untuk mereka ampunan dan pahala 
yang besar.” Surah Al-Maidah ayat 9.

Dan ayat Allah SWT ini jelas menunjukkan bahawa, keampunan itu 
datang dengan beramal soleh. Rasa berdosa semata-mata tidak 
akan menyelamatkan kita. Jika benar rasa berdosa, maka sepatutnya
 kita meninggalkan kejahatan dan melakukan kebaikan.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang 
berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan 
rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
 Surah Al-Baqarah ayat 218.

Bergeraklah. Padamkan dosa kita dengan bergerak ke arah kebaikan.
Sesungguhnya Allah SWT itu ampunanNya luas dari jangkaan.


~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)

Daripada Baginda Kita Belajar...


Rasulullah, kaulah motivasi kami. ~ picture by lubalubumba of deviant art.


Beberapa hari lagi Maulidur Rasul SAW. Oh, saban tahun kita melaluinya 
bukan? Saban tahun hari lahir Rasulullah SAW kita sambut dengan meriah. 
Ada yang buat perarakan. Ada yang buat majlis itu dan majlis ini. Tazkirah
-tazkirah mengingati baginda turut diperdengarkan.


Tetapi saban tahun ulangan semua rutinan itu, apakah yang kita ambil 
pengajaran?


Adakah pegangan Rasulullah kita tanam kemas sebagai pegangan kita?


Apakah suri teladan Rasulullah, kita ambil sebagai peribadi kita?


Atau kita kekal mengambil contoh-contoh lain yang tidak syar’ie 
sebagai idola kita?
Tahukah kita, pada Rasulullah itu punya motivasi yang tertinggi dan
 tidak tertanding?
Maka di dalam artikel ini kita lihat, dan mencerahkan penglihatan
 kita yang terdinding.



Rasulullah itu, dan kepercayaan baginda.


Satu perkara yang saya teruja dengan Rasulullah SAW, adalah 
keutuhan keimanan baginda.
Bayangkan ya, baginda menerima wahyu pertama di dalam gua, 
tempat tiada siapa yang memerhatikan baginda. Beliau pula menerima
 wahyu daripada Malaikat yang tidak kelihatan dek mata manusia.
 Baginda berurusan dengan Allah, menerima arahan daripadaNya,
 menerima perintah dan larangan daripadaNya, yang mana Allah
 itu langsung tidak mampu diperhatikan oleh sesiapa.


Kemudian, jalan yang baginda tempuhi, dalam membawa perintah 
daripada Yang Tidak Terlihat itu bukanlah jalan yang mudah. Penuh 
cabaran, dihampari onak dan duri. Dia pula diperangi oleh 
kaumnya sendiri. Bahkan cuba dibunuh oleh kaum kerabat 
Makkahnya sendiri.
Jika baginda itu, hendak memberikan alasan bahawa apa yang 
diarahkan kepada baginda itu adalah ‘satu kerja gila, yang hanya
 orang-orang gila sahaja yang melakukannya’, maka baginda 
adalah yang paling layak memberikan alasan itu untuk tidak 
berusaha menyebarkan kalam Allah SWT.


Sebab siapa yang nampak Allah? Siapa yang nampak Malaikat? 
Tiada. Ditambah pula, arahan daripada yang tidak ternampak
 itu bukannya membawa kepada kesenangan hidup, bahkan perlu
 menempuhi cabaran dan dugaan, serta yang dijanjikan kesenangan
 yang sebenarnya pula adalah di akhirat, satu tempat yang juga
 tidak kelihatan. Dan baginda, Rasulullah SAW yang kita cinta 
itu, perlu meyakinkan masyarakat untuk mengambil 
kepercayaan itu?


Dapatkah kita melihat ‘pressure’ pada Rasulullah SAW?
Tetapi perhatikan baginda. Saya ulang. Perhatikan baginda.
 Ya, perhatikan baginda.


Apakah baginda memberikan alasan? Tidak.


Apakah baginda mengeluh dan berhenti? Tidak.


Apakah baginda merungut dan mencaci tugasannya? Tidak.


Mengapa? Soalannya, mengapa?


Sedangkan, baginda adalah paling berhak untuk menyatakan
 ‘ini semua kerja gila’, ‘nanti orang kata apa’, ‘pasti semua 
akan memerangi aku’, dan ketakutan-ketakutan lain. Tetapi 
mengapa baginda tidak menyatakannya? Mengapa baginda 
memilih untuk meneruskan perjuangan baginda?


Kerana inilah dia kebenaran. Dan baginda ‘melihat’ kebenaran 
itu. Baginda ‘merasai’nya. Maka baginda yakin dengannya, 
dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Sehingga sedikit 
kegoyahan pun tidak pernah terzahir dalam pergerakan 
baginda. Maka baginda berjuang, berjuang menegakkan 
kebenaran yang baginda rasai tadi, hingga ke penghujung 
nafas baginda.


Dan kita?


Lihatlah baginda


Lihatlah baginda, saat Abu Talib meminta baginda menghentikan
 tugasan dakwah baginda kerana orang-orang Quraisy mula 
meminta untuk membunuh baginda, apakah yang baginda nyatakan?


“Wahai pakcikku, andai mereka meletakkan matahari 
di tangan kananku, dan bulanj di tangan kiriku, aku tetap
 tidak akan menghentikan kerja-kerja ini, sehingga Allah
 memenangkanku atau aku binasa kerananya.”
 – Sirah Raheeq Al-Makhtum.


Lihatlah baginda, saat penyeksaan terhadap kaum muslimin 
Makkah meningkat, apabila ada sahabat mengeluh dan 
mempersoalkan bantuan Allah SWT, baginda menjawab:


“Dan Allah akan menyempurnakan hal ini(dakwah Islam)
 hingga nanti ada yang merentasi padang pasir dari San’a
 ke Hadhramaut(kedua-duanya adalah kawasan di Yaman)
 dalam keadaan tidak takut kepada apa-apa selain Allah.” 
- Sirah Ibn Hisham.


Lihatlah baginda saat berada di dalam Gua Tsur dan Kaum 
Musyrikin Makkah sudah berada di hadapan pintu gua, Abu Bakr 
RA ketika itu pula ketakutan, baginda bersabda:


“Wahai Abu Bakr, apa pandangan kau sekiranya kita berdua,
 dan yang ketiganya adalah Allah?” – Sirah Raheeq Al-Makhtum.


Dan lihatlah apabila baginda dan para sahabat dipulaukan selama 
tiga tahun tiga bulan, hingga mulut mereka pecah kerana terpaksa 
memakan pucuk kayu, hingga mereka terpaksa merebus kulit 
kasut mereka untuk mengalas perut, lihatlah baginda selepas 
penyeksaan itu berakhir, apakah baginda berhenti?


Tidak sama sekali.


Lihatlah baginda. Lihatlah baginda. Apakah kita ini tidak memerhati?


Kita


Kita sering mengeluh dan memberikan alasan. Kita sering 
merungut dan melepaskan keluhan. Kita tidak betah berkerja 
sedikit keras untuk menegakkan kepercayaan ini. Kita tidak 
senang untuk berkorban untuk menyebarkan kepercayaan ini.
 Bahkan, jangan kata memperjuangkan kepercayaan ini, 
ramai pula kalangan kita malas untuk mengambil kepercayaan
 ini sebagai cara hidup kita.


Sedangkan ada satu susuk tubuh yang mulia, telah menunjukkan
 contoh tersolid buat ikutan kita. Itulah dia Rasulullah SAW. 
Yang mana kalau di dalam hal memberikan alasan dan rungutan, 
bagindalah orang pertama yang sepatutnya berbuat demikian.


Daripada baginda, kita belajar.


Kita sepatutnya ekstrak kekuatan daripada keimanan.


Kita beriman perkara yang sama juga dengan baginda. 
Tiada perbezaan langsung pun. Yang berbezanya adalah, 
sedalam mana kita beriman kepada perkara itu. Sedalam mana 
keimanan kita kepada Allah SWT? Sedalam mana keyakinan kita 
kepada janji-janji Allah SWT?


Maka sepatutnya kita melihat kepada Rasulullah SAW.


Tidakkah kita merasakan bahawa, sekiranya kita mencontohi
 baginda, mengambil motivasi daripada kehidupan baginda, 
tiada siapa yang mampu menewaskan kita?


Penutup: Lihatlah baginda, dan belajar


Namun hari ini siapakah yang menyelak sendiri helaian-helaian 
buku sirah baginda? Siapakah yang berusaha mencari buku-buku
 sirah yang sohih yang dikarang oleh ulama’ mukhtabar seperti 
Buku Sirah Raheeq Al-Makhtum karangan Mubarak Furi, atau 
Buku Fiqh Sirah oleh Sheikh Ramadhan Al-Bouty?


Kadangkala kita melayan sirah Rasulullah ini seperti lagenda
 Hang Tuah. Yang kita dengar-dengar daripada mulut orang sahaja,
 kemudian kita usung ke hulu-hilir. Sedangkan, Rasulullah itu 
sepatutnya menjadi kecintaan kita yang tertinggi, maka sirah 
baginda pastilah kita cari dari sumber yang tersohih. Pastinya 
tidak cukup daripada sekadar ceramah-ceramah dan tulisan 
artikel seperti ini.


Namun Rasulullah itu kita lupakan. Pegangan baginda tidak kita 
ambil. Perjalanan perjuangan baginda tidak kita lihat. Contoh
 tauladan baginda kita tinggalkan.


Kemudian bila masalah menimpa, kita minta untuk dimotivasikan?


Saya teramat yakin, sesiapa yang melihat cara hidup Rasulullah SAW,
 peribadi baginda, perjuangan baginda, akan menjadi manusia
 yang paling bermotivasi di atas dunia.


Kerana siapakah yang lebih berat lagi dugaan dan cabarannya
 daripada baginda Rasulullah SAW? Dan sejarah telah 
membuktikan, baginda adalah seorang yang berjaya mengharunginya.


Apatah lagi dugaan kita yang tidak seberapa, bukan?
Mari, lihat semula kepada Rasulullah SAW. Dan belajar.


~hati perlu sentiasa ditarbiah...~ (6_6)