jom zikir...

Powered By Blogger

Monday, May 24, 2010

Putera Idaman Buat Puteri Pilihan


“Untuk cari bakal zauj (suami) tak adakah Ustaz? Ini untuk cari bakal zaujah (isteri)” Tanya seseorang.

Lalu saya tanyakan kembali mengenai spesifik soalan yang ditujukan.

“Cukuplah ciri-ciri yang baik untuk dijadikan zauj tu bagaimana, yang diajar ar-Rasul.”

“Tentu adakan ustaz… itu sahaja…” Tambah beliau bersama sebuah persoalan.

Entri ini adalah kesinambungan daripada artikel Bakal Permaisuri Hatiku dan sebagai jawapan kepada kesamaran penyoal. Sebenarnya ia tidak terlalu berbeza dengan kriteria yang ditetapkan oleh syara’ dalam membuat pemilihan. Cuba ada beberapa perkara sahaja yang membezakannya.

PUTERA IDAMAN MEMBAWA KE SYURGA

Tiada manusia yang baik-baik di dunia ini mahu menyangkal keinginannya untuk mendiami syurga. Jika ada, barangkali ia mengalami sedikit masalah berkaitan mental, dan perlu diluruskan semula. Begitu juga kalau kita tanyakan pada golongan non-muslim, sudah pasti jawapan mereka, “Ya, menginginkan syurga.”

Kalangan para membikin filem barat juga sering menggambarkan keindahan syurga melalui imaginasi keliru mereka mengenai syurga. Bahkan digambarkan bahawa syurga itu berlatarbelakangkan warna putih, indah, istananya bergemerlap dengan intan, permata, zabarjad, berlian dan pelbagai gambaran akal lain.

Itu gambaran akal manusia. Hakikat sebenar kita tidak mengetahuinya. Cukuplah ayat-ayat Allah SWT dan hadis Baginda SAW menggambarkannya. Lalu, letakkan keyakinan pada dasar utama persis Saidina Abu Bakr yang membenarkan kata-kata Rasulullah SAW. Keyakinan itulah dinamakan tasdiq (membenarkan). Bila ada matlamat, pasti ada jalan menuju ke sana.

Antaranya ialah bersama putera idaman di dunia yakni suami soleh. Apakah putera idaman itu ialah si katak yang berubah menjadi manusia? Atau putera di dalam hikayat masyarakat barat? Ataukah anak raja dari kayangan?

Tidak. Itu semua adalah kisah dongengan untuk memutarkan pemikiran anak gadis Islam, khususnya muslimah. Digambarkan putera itu sebagai golongan bangsawan, punya harta melimpah ruah, memiliki wajah tampan bermata biru dan berdada bidang tegap perkasa.

Lalu kisah itu diadaptasikan pula ke layar perak masyarakat melayu, dan pengarah-pengarah tempatan mengembangkan idea sebegini di dalam filem sendiri. Walhasil, lahirlah putera melayu pula – memiliki kereta mewah, pekerjaan besar, kacak dan lengkap segalanya adalah menjadi pilihan utama.

Bukan saja anak gadis tergedik mengimpikannya, malah ibu bapa penjaga turut meletakkan syarat yang sama.

“Siapa kau mahu melamar anak gadis kami wahai pemuda?!” Jerkah si bapa sambil melayang-layangkan golok tajam berkilat.

Si pemuda cuak, lututnya bergetar kehilangan punca. Jawapan yang disediakan sebelum bertemu kedua ibu bapa penjaga anak gadis hilang entah kemana. Hanya kakinya saja siap terjun jendela rumah tanpa sempat menyarung sepatu!

“Kalau kau tak punya wang, jangan mimpi mahu jejakkan kaki ke rumah ini, berambus kau dari sini!” Si ibunya tak lepas meningking pemuda itu. Lalu, ia pulang dengan kehampaan, kekecewaan akibat penangan permintaan material yang menggunung tinggi.

Ibu bapa anak gadis tidak lagi memikirkan kesenangan anaknya pada kelurusan mengamalkan agama. Doa qunut, rukun solat, hal ehwal ibadat, akhlaq bukan lagi menjadi pilihan. Pada hematnya, fulus adalah segala-galanya. Membawa ke syurga atau neraka, itu dikesampingkan dan ditendang ke tepi.

KRITERIA YANG DI TETAPKAN SYARA’

Pemuda Soleh Taat Beragama

Rasulullah SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis:

“Apabila orang yang kamu redhai agama dan akhlaqnya datang meminang, hendaklah kamu kahwinkannya. Jika kamu tidak mengahwinkannya nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan besar di atas muka bumi.” (Riwayat Tirmizi dalam kitab nikah, nombor 1084)

Untuk lebih memahami hadis ini, saya bawakan satu contoh mudah. Seorang pemimpin yang zalim dan terkenal melakukan ketidakadilan kepada rakyatnya, apakah wajahr dijadikan pemimpin? Sudah tentu manusia yang murni akalnya akan menyanggah pemilihannya, kerana dibimbangi berlaku mudharat dan fitnah kepada umum.

Begitu juga dalam hal ehwal rumah tangga. Pemimpin yang dicari seharusnya memiliki kriteria utama sebagai yang disebutkan di dalam hadis. Ingatlah wahai anak gadis dan ibu bapa sekelian, jangan ditolak lamaran sebegitu. Mudharatnya lebih besar akan berlaku, bahkan mungkin tidak sempat mencium wangian syurga. Nauzubillahi minzalik.

Bukan Dari Kalangan Non-Muslim

Dan janganlah kamu berkahwin Dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan Yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) Dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan Sesungguhnya seorang hamba lelaki Yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan Dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya). (Al-Baqarah: 221)

Wanita Islam tidak diharuskan berkahwin dengan lelaki bukan Islam walau apa jua jenis agama anutannya. Ini termasuklah agama dari langit lain seperti yahudi dan nasrani kerana agama itu telah sesat dan menyeleweng. Hakikatnya, seorang lelaki adalah berhak ke atas isterinya. Maka, apakah natijah yang akan berlaku sekiranya suami bukan Islam itu memimpin wanita muslimah?

Walhal orang bukan Islam tidak berhak menguasai orang Islam. Bahkan lelaki musyrik itu tidak ada jaminan yang kukuh untuk menjaga wanita muslimah kerana dia sendiri tidak mengimani ajaran Islam. Firman Allah SWT:

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang Yang beriman.” (An-Nisa’: 141)

Bercakap soal begini, saya teringat suatu kisah yang diberitahu rakan suatu ketika dahulu. Katanya, seorang gadis melayu muslim telah menukar agamanya kepada kristian kerana menyintai seorang pemuda kafir. Lalu mereka berkahwin dan kini menetap di Amerika Syarikat. Hal ini dibuktikan lagi setelah saya melihat sendiri hasil tulisan blog perempuan itu bersama suaminya. MasyaAllah!

Allahu Rabbi, menggeleng kepala kekecewaan dibuatnya.

Justeru, bersediakah wahai puteri pilihan untuk menerima putera idaman hingga ke syurga? Kalian berhak membuat pilihan tepat. Undi adalah rahsia.

No comments:

Post a Comment