jom zikir...

Powered By Blogger

Tuesday, June 1, 2010

belajarlah dari musibah

 













Musibah melanda lagi. Apa yang menimpa Gaza, harusnya dirasakan oleh kita jua. Jika tidak ada apa-apa terasa di jiwa, khuatir di dalam dada itu tidak ada rasa bersaudara. Dan tidak ada rasa bersaudara… petunjuk tidak ada iman.
Bukankah iman dan  persaudaraan itu saling berkaitan? Hanya dengan iman, datanglah rasa persauadaraan yang hakikit. Yakni persaudaraan yang merentasi jarak, bangsa dan rupa. Islam itu adalah syahadah yang mengatasi pertalian darah.
Siapapun akan menangis, melihat Gaza menangis. Dari jauh kita himpunkan doa. Dari dekat, kita menyatakan sikap. Di celah dinihari, moga ramai yang tahajud dan solat untuk  umat  Islam di Palestin.
Giliran mereka diuji, mengingatkan kita bahawa hari kita juga pasti datang. Dimulai dengan penjajahan fikiran dan perasaan melalui hedonisme, sekularisme dan materialisme… akhirnya  peluru api dan besi para tirani akan merobek batasan geografi dan watan kita. Ketika kita menangisi Gaza, tangisilah jua nasib umat kita di sini. Umat yang kian leka, lalai dan lupa… padahal rantai-rantai pemikiran sudah diikat di tengkok kita, dan jiwa kita sudah mula dikunci, hanya menanti masa sahaja iman dan Islam kita bakal disembelih!
Untuk sahabat-sahabatku  di Gaza, ku rakamkan tulisan ini sebagai titisan prihatinku untuk nasib kalian (nasib kita jua).  Hanya satu pesanku, untuk mu dan untuk ku… 

BELAJARLAH DARI MUSIBAH!
Selaku umat Islam yang wajib meyakini kasih sayang Allah sentiasa melindungi kehidupan kita. Kalimah “Bismillahir Rahman nir Rahim” – dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang – sentiasa menjadi sebutan kita. Namun ketika musibah seperti kematian, kesakitan, kemiskinan, kegagalan dan kekalahan melanda diri, mungkin hati kecil kita tertanya-tanya, mengapa? Mengapa Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang itu mentakdirkan begitu? Sudah sirnakah kasih-sayangNya?
Jangan. Jangan begitu. Dalam apa jua keadaan pun kita wajib yakin bahawa takdir Allah pasti mengandungi banyak hikmah dan kebaikan. Istilah buruk, hanya ada dalam rumus pemikiran manusia. Manakala di sisi Allah, segalanya punya maksud baik walaupun kekadang pada zahirnya tidak begitu. Kelihatannya sangat pahit, tetapi ia manis dan indah. Hanya apabila hikmahnya dapat dicungkil, insya-Allah.
Mengetahui dan merasai hikmah sesuatu musibah akan dapat meringankan beban perasaan dan menjawab banyak tanda tanya dalam jiwa terhadap perkara-perkara yang tidak selari dengan kehendak kita. Ia adalah syarat bahagia dan ketenangan jiwa. Apa pun, hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat di sebalik cubaan dan bala yang menimpa.
Justeru seorang ahli hikmah, Ibn Ataillah Askandari pernah berkata, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Tegasnya, apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatannya pahit. Beliau berkata lagi, “Bila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal yang pendek.”
Untuk mencari hikmah sesuatu musibah kita mesti meyakini terlebih dahulu bahawa musibah adalah sebahagian ujian yang pasti menimpa manusia. Ujian adalah satu sunnatullah (peraturan Allah) yang tidak ada siapa pun dapat menghindarkannya kerana hidup ini hakikatnya adalah satu ujian. Bila sanggup hidup, mesti sanggup diuji. Firman Allah s.w.t.:
“Dijadikan mati dan hidup kepada kamu untuk menguji siapakah yang terbaik amalannya.”
(Surah al-Mulk: 3)
Apa itu musibah? Secara ringkasnya musibah ditakrifkan sebagai segala sesuatu yang tidak disukai oleh manusia berupa kematian, kesakitan, kemiskinan, ketakutan, kegagalan, kesedihan dan lain-lain. Jadi, Allah pasti menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita sukai (musibah). Kita tidak sukakan kematian, tetapi siapa yang boleh mengelak daripada mati? Kita benci kesakitan, tetapi itulah adalah lumrah hidup. Lalu hati kita bertanya lagi, mengapa Allah datangkan semua itu? Apa perlunya musibah?
Musibah ditakdirkan adalah untuk menyerlahkan nilai diri kita di sisi Allah. Terutamanya Allah hendak menilai (walaupun hakikatnya Allah maha Mengetahui) sejauh mana hati kita. Sesungguhnya, Allah menilai hati kita dan amalan kita. Sabda rasulullah SAW:
“Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kamu tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu.”
Dengan ujian sakit, barulah diketahui tahap kesabaran dalam hati kita. Bila diuji dengan peperangan, baru terserlah tahap keberanian kita. Khususnya bagi orang yang beriman, ujian didatangkan untuk menilai dan mengukur semula sejauh mana keimanan kita kepada Allah. Oleh itu iman dan ujian saling berkaitan. Lebih tinggi tahap keimanan seseorang semakin berat ujian yang diterimanya.
Apa¬bila diuji barulah diketahui apakah hati itu telah yakin (beriman) ataupun masih ragu-ragu. Firman Allah s.w.t.:
“Apakah manusia mengira, ia akan dibiarkan sahaja, mengatakan kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji?”
(Surah al-Ankabut: 2)
Namun begitu, perlu diketahui bahawa Allah menguji orang Islam atas se¬bab-sebab yang berbeza yakni mengikut tahap hubungan mereka dengan ALLAH. Berdasarkan sebab-sebab itulah letaknya kemuliaan atau kehinaan seseorang manusia. Ujian yang berlaku kepada manusia sama ada memuliakannya atau menghinakannya.
Musibah menimpa semua manusia – tidak kira sama ada yang baik atau yang jahat. Cuma bagaimana keadaan seseorang semasa dia ditimpa musibah dan bagaimana dia menghadapi musibah itu menentukan darjatnya di sisi Allah. Benarlah seperti yang selalu diungkap“… it’s not what happens to you, but it’s what you do about it.”
Bukan kerana apa yang berlaku kepada kita yang penting, tetapi apa yang kita lakukan terhadapnya. Jadi amat berbeza sekali apa yang dilakukan oleh orang yang akrab dengan Allah berbanding dengan orang yang jauh daripada Allah walaupun musibah yang menimpa mereka sama. Ya, kita tidak boleh mengelakkan diri daripada musibah tetapi kita mampu mengubah musibah itu menjadi satu kebaikan sekiranya kita dapat merasai hikmahnya dan bertindak selaras dengan hikmah tersebut.
Sekurang-kurangnya ada tiga jenis musibah (walaupun pada hakikatnya musibah itu sama sahaja) tetapi yang berbeza adalah disebabkan keadaan diri orang yang menerimanya dan bagaimana mereka bertindak ketika menghadapi musibah tersebut.

sumber: genta-rasa.com

No comments:

Post a Comment