jom zikir...

Powered By Blogger

Tuesday, June 15, 2010

ADA HANTU!!

Tidak habis lagi rupanya kegilaan itu. Sangka saya ia sudah berlalu, kerana kalau tidak silap, ini sudah mencecah tahun ke3? Malangnya sangkaan saya terus meleset.


Ia sudah menjadi fenomena. Saya pulang ke tanahair untuk menyaksikan hampir setiap rangkaian televisyen Malaysia menyiarkan rancangan yang lebih kurang sama. TV2 dengan Santau, Astro dengan Jangan Pandang Belakang, TV3 dengan Misteri Nusantara. Serentak. Ini memang betul-betul asak ni. Apa lagi? Momok? Waris Jari Hantu? Saka? Sila tambah senarai.


Menarik sungguh definisi hiburan orang Melayu zaman sekarang. Seronok juga menakutkan diri sendiri. Suspen. Biar berpeluh sikit.

‘Ah.. tak takut pun. Terkejut aje,’ kata seorang kawan.
‘Just looking for a bit of Adrenaline rush. Thriller!’ sambut seorang lagi.

Jujurnya saya berpandangan tidak mungkin semua ini adalah sekadar hiburan semata yang langsung tidak meninggalkan jejak. Kerana kita adalah manusia yang punya akal fikiran, jiwa dan perasaan. Lazimnya sebagai manusia normal, kita terusik, terkesan dan terbentuk dengan apa yang ada di sekeliling kita, apa yang dihidangkan kepada kita, apa yang diperkatakan kepada kita, apa yang dibaca, apa budaya yang biasa dan apa pengalaman yang pernah dilalui. Cuma mungkin kesannya pada kadar yang berbeza-beza bagi setiap orang dan melahirkan reaksi yang berlainan. Saya tertarik untuk memikirkan dan bincang tentang impak kebanjiran cerita-cerita hantu di pentas wayang dan televisyen.


Paling jelas, kanak-kanak yang suci bersih selepas menonton cerita hantu jadi takut dengan gelap, jadi takut tidur sendirian, jadi ‘kenal’ dan takut ‘hantu’ (langsuir macam ini, toyol macam itu dll), jadi ada mimpi ngeri, tidak kurang juga yang mengigau. Sesungguhnya orang yang tidak tahu ada harimau, tidak akan takut untuk masuk hutan. Apa sebenarnya yang kita cuba ajarkan kepada anak-anak ini? Betul, kita tidak menafikan kewujudan makhluk halus seperti jin,syaitan dan mereka anak-anak harus tahu tentangnya. Tapi bukan untuk ditakuti seperti ini. Kita bukan mahu mendidik mereka untuk takut hantu.


Tambahan pula, benarkah semua ini hanya berlaku pada kanak-kanak? Sejahterakah orang dewasa menontonnya? Hakikatnya, filem-filem seperti ini banyak melemahkan jiwa, melunturkan semangat, melahirkan generasi pengecut, di saat-saat kita sedang ketandusan pejuang dan rijal yang berjiwa kental. Di tengah-tengah kemelut umat Islam yang meruncing dan kerosakan jatidiri, ramai pula yang sedang takut dengan bayang-bayang sendiri atau sibuk merujuk dukun dan pawang untuk segala macam masalah.

“Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kejahatan.” (Surah Al-Jin : ayat 6)


Apa yang paling ditakuti ialah kalau-kalau ada makhluk ngeri tiba-tiba menjelma, atau kerasukan, atau ‘buatan orang’ dan yang sewaktu dengannya. Benar itu semua adalah kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku dengan izin Allah.


Namun, gangguan jin dan syaitan yang lebih utama yang melanda setiap seorang anak Adam pada setiap hari bukanlah dalam bentuk sebegitu. Sebaliknya, gangguan mahkluk-makhluk ini adalah berbentuk bisikan-bisikan jahat, detikan-detikan halus dan ajakan-ajakan untuk bermaksiat kepada Allah! Untuk mengabaikan perintahNya dan sesuka hati melanggar laranganNya, seperti yang difirmankan Allah dalam surah An-Nas:



“Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Iaitu dari jin (syaitan) dan manusia.” (Surah An-Nas : ayat 5-6)

Mereka menyemai keberanian dalam jiwa manusia untuk DURHAKA kepada Yang Maha Esa, hingga mengheret kita ke pintu neraka. Oh.. gangguan macam ini tak takut pulak?


“Usu, kenapa bawa budak kecik jalan malam-malam?”
“Takpe mak, dia dah pakai tangkal.”
“Oo.. baguslah.”
Luluh hati saya mendengar perbualan tersebut. Rasa selamat dengan memakai tangkal? Azimat? Letak buku Yasin bawah bantal? Isu ini perlu perbincangan lain yang panjang.


Kelihatannya kebanjiran filem-filem cerita hantu momok jembalang ini nyata berjaya memakmurkan lagi dunia mitos tahyul serta budaya khurafat yang sudah sedia subur dalam masyarakat kita.

Ya Allah..
kami berlindung kepada Engkau dari mensyirikkanMu dengan apa yang kami ketahui,
dan kami memohon ampun dari mensyirikkkanMu dengan sesuatu yang tidak kami ketahui.
Aku berlindung pada kalimah Allah yang sempurna dari kejahatan makhlukNya.
(bacaan Al-Mathurat)


Iwa: malam nanti nak tido dengan kakak tau.
Me : kenapa?
Iwa : takut hantu..
Me : Iwa, hantu siang-siang pun ada la.
Iwa : Kakak tipu ! Kakak tipu!!
Me : … (tepuk dahi)


ar-rumaisa
Shah Alam

No comments:

Post a Comment