jom zikir...

Powered By Blogger

Tuesday, June 15, 2010

PERJALANAN KEHIDUPANKU


Suatu masa dulu...
HambaMu ini hanyut dalam arus kehidupan,
Begitu sibuk mengejar impian,
Dengan harapan mendapat penghormatan dan kemewahan,


Dunia yang fana ini menjadi matlamatku,
Cinta berteraskan nafsu menjadi buruanku,
Perihal akhiratku tiada ku endahkan,
Perintah dan laranganMu tidak ku hiraukan,
Azab dan seksaanMu tidak ku risaukan,
Syurga dan neraka tidak ku fikirkan...


Sehinggalah pada suatu hari...
Engkau mengujiku dengan kegagalan,
Yang memusnahkan segala harapan,
Menjadikan hambaMu ini bergelut dengan kesedihan...


Ya Rahman...
Di saat itu sangat sukar bagi ku menerima kenyataan,
Ku bertanya di mana kesilapan dan kesalahan,
Hingga ku persoalkan apa yang telah Engkau takdirkan,
Ku menjerit di mana keadilan dan belas kasihanMu oh Tuhan!


Dan kini...
Barulah ku sedari,
Pada kegagalan yang ku anggap suatu ketidakadilan itu,
Terselit nikmat kasih sayangMu ya Rahim,
Kerana melalui kegagalan itulah aku mula mengenaliMu,
Disebabkan kegagalan itulah aku menyedari bahawa...
Dunia tidak patut dijadikan matlamat,
Cinta berlandaskan nafsu tidak patut dijadikan buruan,
Lantas aku berpaling darinya dan berlari ke arah cintaMu,
Hanya keredhaanMu sahajalah yang ingin ku raih kini...


Ya 'Azim...
Inginku luahkan kesyukuranku kepadaMu,
Kerana di antara berjuta manusia,
Engkau telah sudi memilih diriku yang hina dina ini,
Untuk menerima taufiq dan hidayah dariMu
Dan menghijrahkan diriku dari alam jahiliyah
Ke alam uluhiyyah dan ubudiyyah...


Ya Allah...
Aku amat berterima kasih kepadaMu
Kerana Engkau tidak pernah membiarkan diriku terus tersesat
Dalam kehidupan yang serba sementara ini,
Meskipun ketika itu aku sering terlalai dari mengingatiMu...


Memang tidak dapat dinafikan lagi,
Bahawa sesungguhnya Engkau Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…


Ya 'Aziz...
Izinkanlah aku untuk terus berada di dalam jalanMu ini
Untuk selama-lamanya,
Janganlah Engkau kembalikan aku ke lorong gelap
Yang membawa kepada kesesatan,
Ampunkanlah kejahilan dan kelalaianku selama ini,
Pimpin dan bimbinglah hambaMu yang lemah ini ke arah cintaMu,


Ku mohon agar Engkau teguhkanlah tugu keimananku,
Benarkanlah aku untuk merasai halawatul iman,
Anugerahkanlah kepadaku kekuatan dan kesabaran,
Pekakkanlah telingaku dari sebarang sindiran dan ejekan,
Kebalkanlah jasadku dari segala kesakitan,
Dalam menjalankan amanah yang Engkau pikulkan di bahu ku...


Ya Khaliq...
Jadikanlah setiap hembusan nafasku,
Setiap kelipan mataku,
Setiap degupan jantungku,
Setiap helaian rambutku,
Setiap bait perkataanku,
Setiap hayunan tanganku,
Setiap langkah kakiku
Dan setiap titisan darahku,
Hanyalah untukMu...


Sebelum tiba ajalku,
Ingin ku merayu kepadaMu,
Bukakanlah pintu hati insan di sekelilingku,
Untuk mengampuni dosa-dosaku terhadap diri mereka,
Lancarkanlah lidahku untuk menjawab soalan malaikat utusanMu,
Luaskanlah dan terangilah tempat pembaringanku,
Meriahkanlah pusaraku dengan ayat-ayat suciMu,
Permudahkanlah perjalananku di alam seterusnya...


Curahkanlah redhaMu terhadapku sepanjang hayatku
Dan izinkanlah aku untuk menghadapmu di dalam Jannah yang serba indah...


Dan esok, Andainya aku tidak bernafas lagi,
Sampaikanlah ucapan selamat tinggalku kepada insan yang ku sayangi,
Bimbinglah mereka sepertimana Engkau telah sudi membimbing diri ini,
Agar dapat ku bertemu dengan mereka lagi,
Di pertemuan yang hakiki,
Di dalam syurga yang kekal abadi...


SUMBER: http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=653





No comments:

Post a Comment