jom zikir...

Powered By Blogger

Friday, June 11, 2010

Nikah Yang ‘Tergantung’

























“Eh, bukankah kamu dah kahwin? Mana isterimu?” Tanya Aidil kehairanan.

“Erm… Tinggal dekat Malaysia, tak bawa sekali. Panjang ceritanya Dil.” Idham mengeluh panjang. Bicara tersekat pada lamunan wajah isteri yang ditinggalkan. Jarak perpisahan bukanlah cuma sebatu dua, tetapi menjangkau ribuan kilometer. Samudera mana yang tidak dibelah, awan mana yang tak diredah.

“Jadi, kamu nikah gantung?”“Taklah. Cuma berpisah jarak ja. Kami pernah tinggal sebumbung dan bersama seawal pernikahan. Memandangkan semester baru sudah bermula, maka terpaksa saya ke sini.” Dia sengaja menyorok perasaan rindu dan sedih agar sahabatnya tidak dapat mengagak. Jiwa yang menjeruk rasa dipendam jauh ke lubuk dalam.

“Oh macam tu, apapun sabar ya Dil. Kita usahakan untuk najah tahun ni.”

APA ITU NIKAH GANTUNG?

Kisah di atas adalah adaptasi kisah sebenar yang berlaku di kalangan mahasiswa al-Azhar. Ramai sahabat-sahabat saya menghadapi kehidupan seperti itu. Namun begitu, mereka tidak lelah dan putus harapan untuk meneruskan perjuangan. Bahkan ada yang mampu merekod mata tertinggi di depan berbanding teman-teman solo lainnya.
“Ustaz, boleh cerita pasal nikah gantung atau nikah yang dibuat tetapi atas sebab belajar, dia tak duduk serumah, tak bergaul dan tak buat kerja rumah. Selepas selesai study atau kerja, baru mereka melakukan tugas suami isteri. Yang penting nikah dahulu. Faham ke apa yang cuba saya sampaikan? Saya tak ingat nikah apa ini…”
Tanya seorang individu yang dikenali kepada saya tempohari. Pada mulanya saya masih tidak mengerti bagaimana letak atur pernikahan gantung yang dimaksudkan. Sangkaan saya ia seperti pernikahan yang dialami rakan-rakan. Dengan kata lain, mereka bernikah cukup rukun dan syarat, tinggal bersama tetapi terpisah sementara kerana menyelesaikan urusan.

Namun begitu, maksud nikah gantung yang diutarakan menurut perspektif masyarakat melayu khususnya. Mereka berpandangan bahawa sepasang suami isteri yang telah berkahwin bersama rukun dan syarat sempurna TIDAK DIBENARKAN duduk bersama. Pendek kata, mereka tidak boleh mengamalkan kehidupan lazim suami isteri dalam jarak waktu yang ditetapkan ibu bapa.

Rukun-rukun nikah:
  1. Sighah (lafaz ijab kabul)
  2. Perempuan yang akan dinikahi
  3. Lelaki yang akan dinikahi
  4. Wali
  5. Dua orang saksi
Lalu jika anggapan sisi pandangan sebegitu, maka ianya telah melanggari fitrah perkahwinan hatta halangannya sebulan cuma. Kecualilah atas urusan penting yang tidak dapat dielakkan. Sedangkan perkahwinan itu adalah tiket sah mengakrabi sebuah ikatan.

Ada dalil nikah gantung?
Menurut sesetengah di kalangan mereka yang bijak pandai, konsep nikah gantung ini diambil berdalilkan kisah perkahwinan Rasulullah SAW bersama Saidatina Aisyah r.anha. Sewaktu Rasulullah SAW mengahwini Puteri Humaira’ itu, usianya baru mencecah 7 tahun. Tetapi setelah menginjak umur 9 tahun barulah Baginda SAW tinggal bersama.

Benar, ada sirah meriwayatkan sedemikian rupa. Namun di dalam konteks Malaysia hari ini, penguasa menetapkan tahap umur perkahwinan bagi perempuan adalah 16 tahun. Jadi tidak ada alasan untuk mengamalkan nikah gantung sebagaimana Rasulullah SAW.

Tambahan pula masyarakat nusantara kebiasaannya jika berumur 7-10 tahun itu masih keanak-anakkan. Yakni agak lambat menginjak ke usia Baligh. Selesai.

Justeru, bezakan antara dua situasi di atas. Antara nikah gantung dan nikah yang berpisah.

No comments:

Post a Comment