jom zikir...

Powered By Blogger

Wednesday, May 26, 2010

permaisuri hati

Dunia ini telah tercipta dan diciptakan Allah SWT dengan berpasang-pasangan. Lihatlah pada birunya awan di langit, pasangan intimnya hingga kiamat adalah hamparan bumi yang penuh rona-rona rasa.

Andaikata bumi itu tak berbumbungkan langit, manusia tidak mampu menahan panahan sinar UV yang menggila. Bahkan tubuh manusia dan makhluk lain di bumi akan menggeletar kepanasan tak terhingga. Begitu juga jika langit tercipta tanpa bumi.

Kelihatannya teramat janggal sekali, kerana ia seolah-seolah membentuk sfera belon yang kosong di dalamnya.

Sudah tentu proses alam tidak terjadi, dan petala langit yang tujuh menangis sunyi kerana bersendiri. Dia tidak punya teman untuk diakrabi. Langit sudah pasti tak menemui Khalifah Allah sebermula lahirnya Adam a.s hingga kepada kekasih Allah SWT – Muhammad SAW. Sudah tentu juga langit tidak dapat berbakti pada manusia, haiwan dan tanaman yang menghijau. Alangkah indahnya dunia bila mana pasangan langit dan bumi itu bersama.

Subhanallah Walhamdulillahi Walailahaillallah Wallahhu Akbar!

Selidikilah kalam Allah SWT yang mulia ini, di sana akan terlihat betapa langit itu diperlukan penduduk bumi dengan hikmah besar. Firman Allah SWT:

“Dialah Allah Yang mengirimkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendakiNya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat air hujan keluar dari celah-celahnya; maka, apabila hujan itu turun mengenai hamba-hambaNya yang dikehendakiNya, tiba-tiba mereka menjadi gembira” (Al Qur’an, 30:48)

Apakah masih tidak wujud pasangan lain di alam semesta ini? Jawapannya – masih banyak. Tak terhitung pada sepuluh jari atas ditambah sepuluh jari bawah!

Malam dan siang yang berputaran pada paksinya selalu bersahabat tanpa khilaf. Mereka tercipta bersama tugas terpundak selama-lamanya. Selagi mana sangkakala Malaikat bisu dengan izin Ilahi, selama itulah ia takkan hancur.

71. Katakanlah: “Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; Tuhan Yang manakah Yang lain dari Allah, Yang dapat membawakan cahaya Yang menerangi kepada kamu? maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)?”

72. Katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; Tuhan Yang manakah Yang lain dari Allah, Yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan Bukti keesaan dan kekuasaan Allah)?”

73. Dan di antara rahmat pemberianNya, ia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur. (Al-Qasas: 71-73)

Manusia sememangnya tidak mampu hidup jika alam ini selamanya bermalam gelap gelita. Manusia dan haiwan akan membeku kesejukan. Kerja seharian seperti terhalang dek cuaca yang kelam zulmat. Akhirnya manusia mati dalam kegelapan, tanpa cahaya yang menerangi.

Begitu juga jika siang tanpa malam. Manusia akan letih berpanjangan. Kerja akan terus bergerak tanpa henti bersama pijarnya mentari. Akhirnya, manusia tak punya waktu untuk beristirehat dan tidak ada senggang masa untuk bermunajat di sepertiga malam. Tidak ada lagi istilah qiamullail bagi seorang abid.

Lalu bersyukurlah dengan pemberian ini dengan sebenar-benar rasa syukur. Usah membenci malam, dan usah memarahi siang.
Subhanallah Walhamdulillahi Walailahaillallah Wallahhu Akbar!

CINTA ADAM DAN HAWA

(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu dari jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan dari jenis binatang ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Asy-Syuura: 11)

Walhal ketika berada di syurga yang punya segala-galanya, Adam a.s masih kesunyian. Adam sunyi menginginkan pasangan hidup. Pasangan yang bukan diletakkan di telapak kaki untuk dipijak ataupun diletak atas kepala untuk dijunjung. Tetapi disisi untuk bersamanya. Maka Allah SWT memahami rasa naluri hamba-Nya, lalu DIA menjadikan Hawa sebagai teman hidup. Buat pelengkap diri antara satu sama lain.

Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah Engkau dan isterimu Dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang Yang zalim”. (Al-Baqarah: 35)

SIAPAKAH BAKAL PERMAISURI HATI INI?

Saya adalah manusia bernama lelaki, yang normal dan mempunyai rasa hati seperti bapa manusia – Adam a.s. Mengimpikan seorang permaisuri sebagai pendamping diri dan melengkapi antara satu sama lain. Lantas mengukuhkan lagi rasa untuk mentaqribkan diri pada pemilik cinta, Allah SWT.

Justeru, permaisuri yang diimpikan itu selayaknya adalah insan bergelar manusia juga. Mana mungkin saya mengimpikan haiwan ataupun jin. Ia melanggar fitrah insani yang murni. Sama sekali tidak.

“Ustaz, siapa agaknya bakal isteri ustaz?” Tanya seorang pembaca blog.

“Insha’Allah, ada.” Ini jawapan saya tanpa klasifikasi sebenar. Lalu saya mahu segera menjawab pertanyaan itu di sini.
Dan permaisuri itu ciri-cirinya mudah sahaja.

ASAS AGAMA DAN LURUS AKHLAQ

Ramai yang salah tanggapan meletakkan asas agama itu pada ijazah pengajian Islam semata-mata. Bagi saya itu bukan kayu ukurannya. Kerana ijazah pengajian Islam itu tidak menjamin pelakunya faqih dalam agama atau lurus akhlaqnya. Apa gunanya jika belajar agama tetapi jauh meninggalkan apa yang dipelajari?

Saya meletakkan asas agama pada seorang perempuan yang bakal dinikahi ialah dengan patuhnya pada Allah SWT serta menjauhi larangan Allah dan Rasul-Nya. Solatnya terjaga, ibadahnya sempurna, tahu membaca al-Quran, puasa yang mantap, pergaulan antara bukan mahramnya terbatas lalu dadanya selalu membuak rasa kecintaan pada Allah SWT dari segala genap segi.

Ibu dan bapa dalam kehidupannya adalah seperti mutiara yang ditatang dengan penuh rasa kasih sayang. Kedua orang tuanya bukan musuh yang patut dikeji dan diderhakai. Kerana kasih sayang itulah yang bakal menentukan kayu ukur sejauh mana dia mengenal rasa hormat kepada sesama manusia.

Bahkan bakal permaisuri saya seharusnya sering mendambakan ilmu Allah SWT setiap detik dan waktu. Kerana ilmu Allah SWT itulah yang menerbitkan rasa takut serta menegahnya dari melanggar perintah Allah SWT. Lalu senang pula bersama ilmu setiap waktu, agar kelak mampu saya berkongsi ilmu dengan rasa tenang tanpa kegusaran melanda.

Setelah kenal agamanya, saya mengimpikan permaisuri itu indah akhlaqnya sesama manusia. Bicaranya tidak kuat mengata dan mengeji manusia, tidak lekas mengeluh beratnya ujian Allah SWT, tidak pantas memaki hamun di sana sini. Kesabaran, ketabahan dan kecekalan sentiasa menjadi bunga dirinya. Cukuplah dia mengerti adab dan tatasusila yang lurus hasil cerminan agama itu.

Keindahan akhlaq itu sebenarnya mampu meluluhkan hati manusia, mampu memikat sanubari yang gundah gulana. Alangkah manisnya jika butir bicaranya bernada seiring jiwa. Agar kesabaran daripada perilaku dan kata-kata itu menghijab dirinya dan diri saya dari api neraka jahannam.. Nauzubillahhi minzalik.

Akibat agama dan akhlaq yang lurus itulah mampu mengemudi diri daripada menderhakai Allah SWT, Rasulullah SAW, ibu bapda dan suami sendiri.

KECANTIKAN

Cantik rupa paras itu adalah perkara subjektif. Terlalu umum bagi seorang manusia. Tiada suatu piawaian yang termaktub di dalam undang-undang manusia bagaimana kecantikan yang diingini.

“Jamal, cantiknyalah gadis itu.” Hadi menjuih bibir ke arah gadis berkelubung biru itu.

“Ah, biasa-biasa saja.” Balas Jamal bersahaja.

“Habis tu, kamu mahu yang bagaimana?”

“Mahu matanya bundar, bukan bermata galak seperti itu.” Jamal memberikan standart rasa hatinya.

Nah, lihatlah. Bagaimana Allah SWT Maha Bijak dalam mengatur kehidupan manusia. Andaikan cantik itu adalah sama di sisi manusia, sudah tentu lelaki tidak pernah berhenti berperang kerana berebut gadis jelita yang sama rasa!

Bagi sesetengah lelaki, hitam manis itu adalah pengubat lara, putih melepak itu adalah buah hati pengarang jantung, hidung kemek itu kekasih jiwa, hidung mancung itu adalah bidadarinya. Pokok pangkalnya, ia sukar untuk dimengertikan.

Ingat wahai lelaki, cantik ini bukan dilihat pada bedak yang tebal tertempek, hati bibir merekah tercalit perwarna merah! Cantik yang saya maksudkan ialah apabila hatimu tenang bila menatap wajahnya. Cantik hati budi, cantik zahir dan batinnya.

Apa guna wajah bak ratu cantik dunia, tetapi hati begitu kotor dan akhlaq sangat kesat sekali. Tutur katanya tidak menggambarkan seorang muslimah sejati.

Cukuplah bakal isteri saya itu adalah seorang wanita yang apabila saya merenungnya, serasa sejuk di dada. Tenang di jiwa.

KETURUNAN BAIK

Tanggapan ini juga selalu disalah ertikan manusia. Pada hemat mereka, keturunan yang baik itu dilihat pada gelaran ataupun pangkat. Selamanya ukuran itu adalah jauh tersasar daripada syariat Islam. Islam tidak mensyaratkan perkahwinan itu dengan keturunan dan darjat manusia.

Bukan atas dasar gelaran yang berada di hadapan nama atau berketurunan pembesar ternama, tetapi keturunan itu dinilai sejauh mana sohih mereka dalam beragama. Biarlah keturunan bakal permaisuri itu bukan di kalangan para penzalim, kaki maksiat, kaki zina ataupun keturunan yang dibenci masyarakat kerana kemahsyuran kejahatan yang dilakukannya.

Bukan juga dari kalangan yang kuat pegangan asobiyyah (puak, suku-sakat). Kerana ianya ditegah oleh sunnah Rasulullah SAW.

Agar anak cucu saya nanti kelak diwarisi dari kalangan yang baik-baik. Insha’Allah.

BERHARTA

Syarat ini saya tidak meletakkannya sebagai wajib. Jika dia tidak berharta, tetap saja kesyukuran dipanjatkan sepenuhnya. Jika di kalangan manusia berharta, alangkah indah dan beruntung nasib badan.

Cukuplah harta jiwa raga yang ikhlas Lillahhi ta’ala menjadi cagaran saban waktu dan ketika. Bila ikhlas berada di hadapan, Insha’Allah harta itulah yang sangat ternilai. Ikhlas memberi dan berbakti.

ANAK DARA

Kenapa ia menjadi pilihan saya? Kerana ia juga disarankan oleh Baginda SAW dalam hadisnya.

Jabir r.a berkata: Aku (Telah) menikahi seorang wanita dan aku dating kepada Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW berkata: “Kamu telah menikah ya Jabir?”

Jawabku: “Ya” Nabi SAW bertanya: “Anak dara atau janda?”

Aku berkata kepadanya: “Janda”

Sabda Baginda SAW: “Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain dengamu,” (Muttafaqun alaih, Nailul Autar 119/6)

BOLEH BERANAK RAMAI

Syarat ini juga bukanlah merupakan kewajipan utama. Tetapi cukuplah sebagai pelengkap untuk memenuhi sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana sabda Baginda di dalam sebuah hadis;

Daripada Ma’qal Ibn Yasar r.a berkata, sabda Baginda SAW: “Kahwinilah wanita penyayang lagi subur. Sesungguhnya aku bangga dengan banyaknya kamu (umat Muhammad)” (Nailul Autar 118/6)

Yang lebih utama ialah ramainya zuriat disertai terjaganya kualiti. Tiada gunanya jika ramainya umat tetapi menjadi perosak kepada agama.. Nauzubillahhi minzalik.

Di samping subur, rasa kuat berkasih sayang itu juga adalah penting untuk membikin kelompok manusia yang tahu menghargai manusia. Biarlah permaisuri itu bersama rasa kasihnya dalam membentuk anak-anak kelak.

Harapan saya, semoga ramainya anak bersama redha Allah SWT demi tertegaknya Islam yang dimuliakan.

ORANG ASING

Alangkah baiknya jika wanita itu bukan dari kalangan kaum keluarga terdekat sebagaimana berlaku perkahwinan di antara sepupu dengan sepupu ataupun waris terdekat lain. Biarpun bukanlah ianya menjadi suatu keharaman, tetapi adalah sebaiknya perempuan yang dinikahi itu lebih jauh sedikit agar terikat silaturrahim dan menjadi besar ukhuwwah sesama muslim. Menikahi kaum terdekat itu memungkinkan anak yang bakal terlahir sedikit bermasalah. Wallahhu a’lam.

Justeru, cukuplah sekadar ini syarat umum dan sebuah jawapan kepada persoalan yang dilontarkan. Ini adalah doa saya. Jadi sebagai penutup kepada sebuah doa saya mengakhiri dengan lafaz:

“Amin, Ya Rabbal Alamin.”

Rujukan:
Kitab Muhadharat fi Fiqh as-Sadah asy-Syafie’iyyah, Dr.Khalifah Abdul Basit Shahin.
Qisasul Anbiya’, Ibnu Kasir.

Faridrashidi.com

No comments:

Post a Comment