jom zikir...

Powered By Blogger

Friday, May 21, 2010

bagaimana seimbangkan dakwah dan stadi :2

Menangguh Kerja
Sebagai da’i, kita akan sentiasa mempunyai program-program dakwah yang perlu diuruskan seperti usrah, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan sebagainya. Dan biasanya masa hujung minggu bukan milik kita, tetapi milik dakwah kita. Kita terpaksa mengorbankannya untuk menyebarkan dakwah kepada umat. Oleh itu, setiap tugasan kuliah hendaklah diselesaikan secepat mungkin, tanpa perlu ditangguh-tangguh ke waktu yang lain, walaupun tarikh tamatnya masih lambat. Kadang-kadang kita boleh berbaring-baringan di atas katil, melayari laman-laman web yang tidak begitu penting dan berborak-borak mengenai perkara yang tidak perlu, sedangkan masih ada tugasan yang belum diselesaikan. Ini merupakan sifat malas yang sentiasa menghalang kita untuk berjaya. Biasanya kita akan berfikir,“Nanti aku buatlah,” atau “Nantilah dulu, tunggu ada bila ada mood baru aku buat.”


Kebiasaan berfikir seperti ini tidak boleh ada pada diri seorang da’i. Biasakan diri apabila dapat sahaja apa-apa tugasan, catatkan dalam buku nota atau di mana-mana yang senang dilihat (dalam dompet, di tapak tangan dan sebagainya) agar kita tidak lupa. Kemudian selesaikannya satu demi satu. Jangan senang duduk selagi masih ada kerja bertangguh. Apabila kita tidak menyelesaikan perkara-perkara kecil ini dengan segera, malah menangguh-nangguh kerja, maka apabila sampai masanya kita diarahkan oleh dakwah untuk melakukan tugasan-tugasan dakwah, kita akan memberi alasan. Menangguh-nangguh kerja ini adalah sifat buruk yang datang daripada syaitan.

Menangguh-nangguh ini juga sering berlaku dalam sesi kuliah, di mana kita tidak memahami apa yang disampaikan oleh pensyarah. Biasanya kebanyakan pelajar akan membiarkan sahaja dirinya tidak faham tanpa mengambil langkah segera untuk memahami pelajaran itu. Biasanya setiap topik akan berkait antara satu sama lain. Akibatnya, semakin banyak pelajaran yang tidak difahami. Dan pelajar biasanya akan berfikir untuk mengatasi masalah ini apabila ada masa lapang dan yang paling teruk, meletakkan semua beban belajar dalam ‘study week’. Ini juga adalah tabiat yang buruk dan sangat-sangat perlu dielakkan. Mulakan dengan dewan kuliah. Pastikan sebelum kita datang, kita sudah mempersiapkan minda kita untuk menerima semua yang disampaikan oleh pensyarah. Bawa buku nota khas bagi setiap subjek untuk mencatat apa yang disampaikan. Hadir ke kelas beberapa minit lebih awal untuk untuk mempersiapkan diri dan mengambil tempat duduk yang sesuai. Pastikan tumpuan kita adalah 100% terhadap kuliah yang disampaikan. Wajibkan diri kita untuk memahami setiap apa yang hendak disampaikan.

Mengulangkaji pelajaran yang akan diajar sebelum kelas akan sangat-sangat membantu. Andai kata kita masih tidak dapat memahami apa yang hendak disampaikan, segera berjumpa dengan pensyarah dan bertanya. Selesaikan segala keraguan itu secepat mungkin, sebaik-baiknya sebelum sesi kuliah yang seterusnya. Jika tidak sempat berjumpa pensyarah, pastikan kita memahaminya dengan bantuan rakan-rakan lain ataupun melalui bacaan-bacaan serta latihan. Memahami sahaja tidak mencukupi. Melalui kajian yang dilakukan berkenaan daya ingatan manusia, kita akan kehilangan 90% apa yang dipelajari dalam masa 24 jam tanpa pengulangan. Oleh itu Kita perlu mengulang subjek-subjek yang telah dipelajari itu secepat mungkin. Tidak perlu lama, mungkin 5-10 minit. Buka semula nota, baca sekali lalu sambil mengimbas kembali apa yang disampaikan oleh pensyarah. Lakukan pada hari itu juga. Jangan sesekali memberi alasan tidak ada masa, untuk makan sahaja kita selalu lebih daripada 30 minit.

Tidak Merancang Jadual Mengulangkaji
Dalam apa jua keadaan kita tidak boleh lari daripada merancang. Merancang merupakan sesuatu yang amat penting bagi kehidupan seorang pelajar, lebih-lebih lagi bagi seorang da’i. Kepentingan merancang ini disebut oleh Allah dalam kitab-Nya:
Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
[Al-Hasyr, 59 : 18]
Sesiapa yang tidak merancang, maka sesungguhnya dia merancang untuk gagal. Merancang bukanlah sesuatu yang susah sebenarnya. Ramai di antara kita yang menolak apabila dicadangkan membuat jadual mengulang kaji. Sebenarnya dengan adanya jadual, kita akan lebih teratur dalam membuat persediaan untuk ujian dan lebih mudah memahami pelajaran.

Mulakan dengan menyenaraikan semua subjek-subjek yang dipelajari dan sub-sub topiknya. Dengan adanya senarai ini, semua topik yang akan dipelajari akan lebih terarah. Mulai menguasai topik demi topik. Dengan ini tiada topik yang akan tertinggal. Kemudian, mula menetapkan hari untuk setiap topik itu untuk diulang. Dalam jadual itu pastikan ada masa untuk mengulangkaji sekurang-kurangnya sejam sehari. Tidak semestinya sejam itu berturut-turut. Boleh jadi 20 minit setiap sesi ataupun 30 minit. Jika berpeluang pastikan lebih masa diperuntukkan. 2-3 jam sehari adalah cukup baik. Jangan biarkan ada hari yang kita lalui tanpa mengulangkaji pelajaran. Rancang jadual dengan teliti, dan kemudian disiplinkan diri untuk mematuhinya.

SEMANGAT berusaha
Walaupun banyak perkara yang telah kita rancang, namun yang paling payah adalah untuk meneruskannya. Dalam erti kata lain untuk mengekalkan momentum belajar atau keistiqomahan dalam belajar. Sememangnya, keistiqomahan bukan perkara yang mudah. Rasulullah sahaja apabila diturunkan ayat untuk istiqomah ini, beruban rambutnya.
Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah tobat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.
[Hud, 11 : 112]

Tetapi untuk istiqomah bukanlah sesuatu yang mustahil. Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk mengekalkan semangat untuk berusaha. Berikut beberapa cadangan.
Membayangkan Apa yang Akan Dicapai
Dalam sehari, dapatkan satu waktu khas untuk kita membayangkan masa depan kita dalam dakwah dan akademik. Biasanya sebelum subuh, selepas solat tahajjud. Bayangkan apa yang akan kita capai dalam dakwah. Bayangkan dengan keputusan akademik yang cemerlang itu, lebih ramai mad’u yang akan kita tarik ke dalam dakwah. Bayangkan dengan teliti, di mana sahaja kita pergi semua orang mengamalkan Islam dengan syumul. Semua muslimah bertudung labuh menutup aurat. Semua muslim amat menjaga akhlaq dan berperibadi mulia. Bayangkan semuanya dengan terperinci. Lakukan dalam masa 2-3 minit. Kemudian untuk 2-3 minit seterusnya bayangkan bagaimana kita akan mencapai kesemua itu. Bayangkan bagaimana kita akan melalui sepanjang hari tersebut. Bayangkan setiap kuliah yang akan kita hadiri, wajah-wajah yang akan kita temui, buku-buku yang akan kita baca dan perasaan kita ketika melakukannya. Gambarkan. Ketika sedang membayangkan, bernafaslah dengan dalam, sambil bertekad dengan kuat di dalam hati untuk merealisasikan kesemuanya. Insya-Allah, kita akan merasai semangat itu sepanjang hari. Semakin terperinci apa yang kita bayangkan semakin bagus kesannya.

No comments:

Post a Comment