jom zikir...

Powered By Blogger

Friday, May 21, 2010

kepatuhan...kesetiaan

Ombak mengunjungi pantai tanpa kira musim
Kadang-kadang disapanya lembut, kadang-kadang dilanggarnya keras.
Bulan dan Matahari tetap beredar atas orbit yang sama,
Sejak berzaman tidak tergelincir, terus berpaksi pada landasan ketaatan.
Siang dan malam tidak kenal erti jemu, berkitaran menjadi fasa harian.
Selang-seling tanpa ada sesiapa yang berani mendahulu.
Inikah setia atau satu kepatuhan?
Adakah setia itu satu bentuk kepatuhan?
kepatuhan itu takdir, bukan?
Atau kepatuhan yang melatih diri untuk setia?
adakah kita ditakdirkan untuk setia?
jika alam itu setia dan patuh pada penciptaNya, apakah pula akhlak kita terhadap Penguasa Alam ini?
Berjalanlah di atas segenap muka bumi ini, kaji dan fikirlah. Bajai hidup dan siramilah jiwa. Bumi ini terlampau luas untuk kita teroka. Galilah, bongkarlah, tenunglah dan luaskan lapang fikirmu. Ranumkan kehidupan yang masih muda dan kelat itu. Selepas beribu batu perjalanan ditempuhi, eloklah berhenti sejenak sambil bertafakur untuk memastikan adakah jalan itu betul dan lurus sesuai dengan matlamat asal kita. Dari mana kita datang, untuk apa kita berjalan dan ke mana kita kita tuju? Jangan terlupa akan apa yang sebenarnya kita mahu. cari balik apa yang telah kita tinggalkan dahulu. Jika kau jumpa yang lebih kau mahu, tetapkan hati dan berhentilah berburu. Atau akhirnya, kita akan berpatah balik kepada simpang yang pernah dilewati dahulu?
Hari bersalin hari, bulan berganti bulan dan sudah bertahun kita meninggalkan sejarah di belakang. Langkah kaki ini masih belum mahu berhenti. Kembara akan diteruskan selagi jantung berdetak, selagi semangat masih meluap dan otak berpusing ligat. Tapi di tangan masih ada janji yang tak tertunai.
“Segala puji bagi Allah, kami memohon pertolongan, petunjuk dan ampunan kepada-Nya dan kami memohon perlindungan daripada keburukan hawa nafsu dan dosa-dosa kami.”

No comments:

Post a Comment